Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga beradik didakwa tawar skim pelaburan tidak wujud


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





KLANG, 19 Jun (Bernama) -- Tiga beradik wanita warga tempatan didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini atas 25 dan enam pertuduhan kerana memperdayakan 18 individu, dengan menawarkan skim pelaburan yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM550,000.

Tan Hooi Lian, 36, menghadapi 25 pertuduhan manakala dua lagi kakaknya Tan Hui Bee, 40, dan Tan Hui Chen, 42, masing-masing menghadapi enam pertuduhan, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail dan Roslizi Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Hooi Lian yang merupakan seorang suri rumah telah memperdayakan mangsa di beberapa tempat berasingan di daerah Klang Selatan antara Disember hingga Mac tahun ini, untuk melabur dalam satu skim pelaburan tersebut.

Hooi Lian turut dituduh dengan curang menggunakan harta mangsa bernilai lebih RM250,000.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan yang sama, pada tarikh dan tempat yang sama bersama dua lagi kakaknya.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan atau denda.

Mahkamah membenarkan Hooi Lian diikat jamin RM68,000 bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Hui Chen dan Hoi Bee yang masing-masing merupakan akauntan sambilan dan jurujual, dibenarkan diikat jamin RM16,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes tersebut.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel