Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga beradik antara ditahan edar dadah


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





KUALA TERENGGANU, 19 Jun (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki, termasuk tiga beradik dalam dua serbuan berasingan, kerana disyaki mengedar dadah di daerah Kuala Terengganu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata turut dirampas pelbagai jenis dadah termasuk ganja, heroin, methamphetamine dan Erimin 5 berjumlah hampir RM20,000.

“Tangkapan pertama membabitkan tiga beradik yang berusia 19, 23, dan 26 tahun di rumah keluarga mereka di Kampung Pengkalan Arang di sini, kira-kira pukul 10.10 pagi Ahad lepas.

“Serbuan kedua pula melibatkan seorang pekerja kilang keropok berusia 37 tahun, di rumah keluarganya di Kampung Losong Haji Su di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Katanya hasil siasatan mendapati suspek tiga beradik tersebut aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak hujung tahun lepas, namun mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah atau jenayah lain.

Sementara seorang lagi suspek didapati menggunakan rumah bapanya yang terlantar sakit akibat strok sebagai tempat simpanan dadah dengan bayaran RM80 sehari, selain mengedar dadah di kawasan setempat, katanya.

Tambahnya kesemua suspek kecuali seorang daripada tiga beradik tersebut yang berusia 26 tahun didapati positif dadah, dan polis percaya dengan penahanan itu aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kuala Terengganu berjaya dilumpuhkan.

Dalam perkembangan lain Allaudeen berkata polis menafikan berlakunya cubaan culik kanak-kanak oleh lima lelaki menggunakan van putih di Kampung Jambu Bongkok, Marang, seperti yang tular di laman sosial Facebook semalam.

Menurutnya, pihaknya telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati laporan polis yang dibuat kanak-kanak yang berusia 12 tahun tersebut adalah palsu, dan van putih dengan nombor pendaftaran yang dinyatakannya dalam laporan polis berada di selatan tanah air.

"Cerita sebenarnya ialah kanak-kanak tersebut pergi bermain futsal di bandar (Kuala Terengganu) dan terlewat pulang ke rumah. Jadi untuk mengelak dimarahi dia telah mengada-ngadakan cerita dan mengaku selepas disiasat polis," katanya.

Katanya lagi, polis sedang menimbang untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada kanak-kanak tersebut kerana telah membuat laporan palsu dan bagi memberi pengajaran kerana telah mencetuskan panik di kalangan orang ramai.

Justeru, beliau berharap supaya orang ramai tidak menyebarkan berita yang tidak sahih di laman sosial tanpa mengetahui perkara sebenar dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel