Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu SRC International Sdn Bhd., (SRC) gagal melunaskan hutang kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) membabitkan pinjaman berjumlah RM4 bilion kerana akaun syarikat itu di Switzerland telah dibekukan.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategi, Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, 44, berkata perkara tersebut telah dimaklumkan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, pada September 2015.

"Saya turut hadir dalam mesyuarat antara SRC, KWAP dan Kementerian Kewangan itu," katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari ke-28 perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung kes penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Afidah Azwa berkata mesyuarat juga telah meminta SRC mengemukakan kedudukan kewangan syarikat dan menjelaskan mengenai pembekuan akaun di Switzerland.

"Beberapa surat telah dihantar dan diterima tetapi tiada dokumen atau maklumat dibekalkan oleh SRC mengenai perkara itu," kata saksi ke-41 pendakwaan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim.

Afidah Azwa juga berkata beliau terlibat dalam urusan pemberian dua surat jaminan kerajaan kepada KWAP berhubung pinjaman SRC, masing-masing berjumlah RM2 bilion pada 2011 dan 2012.

"Kebiasaannya, bagi permohonan jaminan kerajaan, setelah menerima permohonan daripada syarikat yang memohon, bahagian saya akan memanggil syarikat untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai keperluan pembiayaan dan syarikat perlu menyatakan tujuan pinjaman, latar belakang projek, bentuk pinjaman dan unjuran aliran tunai atau 'cash flow' syarikat.

"Namun bagi permohonan SRC, syarikat tidak dipanggil oleh Kementerian Kewangan untuk mengemukakan keterangan lanjut kerana syarikat yang diwakili Nik Faisal Ariff Kamil dan Zahid Taib serta dua lagi yang saya tidak ingat nama, telah datang sendiri ke kementerian untuk membincangkan keperluan segera jaminan kerajaan yang ingin dipohon pada 15 Ogos 2011, iaitu Isnin," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bagi surat Jaminan Kerajaan kedua yang membabitkan pinjaman tambahan berjumlah RM2 bilion, wakil SRC, Nik Faisal telah datang sendiri ke kementerian untuk membincangkan keperluan segera jaminan kerajaan itu.

Saksi itu berkata beliau kemudian diarah menyediakan satu memo dalaman bertarikh 2 Feb 2012 daripada Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) kepada Perdana Menteri melalui Menteri Kewangan II.

"Memo dalaman itu menjelaskan tujuan mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) yang turut disediakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri supaya memberikan jaminan kepada SRC untuk pinjaman tambahan sebanyak RM2 bilion juga.

"Memo itu juga menjelaskan yang SRC mempunyai hutang berjumlah RM2 bilion yang diperoleh daripada KWAP pada 29 Ogos 2011 dan dengan pemberian jaminan baharu ini, hutang SRC yang dijamin kerajaan telah meningkat kepada RM4 bilion," katanya.

Menurut Afidah Azwa, draf memo dalaman serta draf MJM telah dikemukakan kepada Setiausaha Bahagiannya, Maliami Ahmad, dan setelah diluluskan, memo itu dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) sebelum dikemukakan kepada Menteri Kewangan II iaitu Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

"Memo itu telah disokong oleh Menteri Kewangan II pada 2 Feb 2012 iaitu pada hari sama memo disediakan. Memo dan MJM kemudian dikemukakan kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dan telah dipersetujui pada 3 Feb 2012. Bagi memo ini, kelulusan adalah daripada Menteri Kewangan sendiri iaitu Najib," katanya.

Afidah Azwa turut memaklumkan bahawa beliau telah diarah oleh setiausaha bahagiannya untuk mengemukakan memo dalaman dan MJM untuk kelulusan serta tandatangan Menteri Kewangan, namun tidak dimaklumkan sebab beliau perlu berbuat demikian.

Saksi itu berkata Kementerian Kewangan juga telah menghantar surat kepada KWAP bertarikh 28 Mac 2012 untuk memaklumkan mengenai kelulusan jaminan kerajaan kedua bagi pinjaman tambahan oleh Jemaah Menteri.

"Surat sama turut memohon KWAP mempertimbang agar pengeluaran wang pinjaman dapat dilakukan terlebih dahulu dan Kementerian Kewangan memberikan aku janji untuk menyerahkan surat jaminan kerajaan selewat-lewatnya dalam tempoh sepuluh hari.

"Sepanjang saya berkhidmat di Unit Jaminan Kerajaan di Kementerian Kewangan, setahu saya ini adalah kali pertama kementerian meminta pembiaya berbuat demikian. 

"Kebiasaannya, wang pinjaman akan diserahkan kepada peminjam hanya setelah surat jaminan kerajaan diserahkan kepada pembiaya," katanya sambil menambah surat jaminan kerajaan bermaksud bahawa pihak kerajaan, melalui Kementerian Kewangan, bersetuju dan memberikan jaminan untuk menanggung apa-apa kemungkiran pembayaran prinsipal serta faedah oleh SRC kepada pembiaya, iaitu KWAP, sepanjang tempoh perjanjian. 

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel