Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka garis lima teras utama realisasi hasrat negeri pintar 2030


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





MELAKA, 19 Jun (Bernama) -- Majlis Penasihat Bandar Pintar Melaka (SCAC) menggariskan lima teras utama dalam usaha merealisasikan hasrat menjadikan Melaka sebagai negeri pintar menjelang tahun 2030.

Pengerusi Majlis Penasihat Bandar Pintar Melaka Khoo Poay Tiong  berkata ia adalah kepintaran mobiliti;  kelestarian alam sekitar dan penjanaan sumber tenaga boleh diperbaharui; kesejahteraan kehidupan rakyat;  kecekapan dan ketelusan tadbir urus; dan pembangunan ekonomi pintar. 

Beliau berkata pihak SCAC juga telah menetapkan sebanyak 28 Strategi dan 78 Pelan Tindakan yang akan dilaksanakan oleh 39 agensi pelaksana yang terdiri daripada kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan negeri dan anak syarikat kerajaan negeri.

"Setakat ini, kita telah melaksanakan penilaian terhadap lapan projek sedia ada dan menyemak serta memperakukan 48 kertas cadangan yang diterima daripada pemain industri," katanya pada sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Khoo yang juga Anggota Parlimen Kota Melaka berkata SCAC turut merancang mewujudkan pelan tindakan yang memberi fokus kepada penyuraian trafik yang lebih berkesan di negeri ini.

Beliau berkata cadangan penambahbaikan itu merupakan antara inisiatif kerajaan negeri melalui 'Melaka Smart Public Safety' melibatkan integrasi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) selain penyediaan 'Tiang Lampu Jalan Pintar'  yang menggabungkan lampu diod pemancar cahaya (LED) pintar dan kemudahan jalur lebar.

"Kita sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian bagi menjalankan 'pro concept' dengan memasang lampu LED dengan kawalan pencahayaan menggunakan 'sensor' dilengkapi CCTV (kamera litar tertutup)  dan Wifi.

Antara lokasi terbabit adalah di Jalan Merdeka berhampiran Menara Taming Sari yang dijangka siap proses pemasangan selewat-lewatnya akhir Ogos depan, manakala kita akan kumpulkan data dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang idea dan pandangan berhubung pelaksanaan bandar pintar bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat menggunakan elemen atau pun infrastruktur sedia ada dengan kos yang minimum.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel