Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MPKB-BRI tawar potongan kompaun sehingga 75 peratus bagi pembinaan tanpa izin


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





KOTA BHARU, 19 Jun (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) hari ini menawarkan potongan kompaun sehingga 75 peratus bagi kesalahan membina atau mengubahsuai bangunan tanpa izin di sekitar Kota Bharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata tawaran itu dibuka selama dua hari iaitu hari ini dan esok.

"Potongan antara 50 hingga 75 peratus ini diberikan oleh MPKB-BRI sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Jadi kita harap warga kota mengambil peluang ini kerana tawaran dan kelongaran ini hanya diberikan tahun ini sahaja," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MPKB-BRI di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Majlis sambutan yang dihadiri lebih 10,000 tetamu itu diadakan setiap tahun sejak 2014 bagi meraikan semua penduduk dan peniaga di sekitar Kota Bharu.

Izani berkata rumah kayu yang diubahsuai tanpa izin boleh dikenakan denda atau kompaun sehingga 11 kali harga pelan rumah terbabit manakala 20 kali harga pelan bagi rumah batu.

Beliau berkata kompaun atau denda itu ditentukan melalui mesyuarat  Jawatankuasa Kecil Bahagian Akta Binaan Tanpa Izin.

"Kita dapati agak banyak rumah sekitar Kota Bharu yang diubahsuai tanpa membuat permohonan dengan pihak berkuasa tempatan sama ada oleh orang kampung tidak terkecuali oleh mereka yang berpendidikan," katanya.

Katanya tindakan tersebut sebenarnya  bercanggah dengan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) dan boleh dikenakan kompaun atau denda.

Dalam pada itu katanya MPKB-BRI juga turut menawarkan potongan kompaun bagi kesalahan parkir kereta dengan bayaran sebanyak RM5 bagi setiap kompaun.

Bagaimanapun, katanya potongan itu hanya diperuntukkan bagi kesalahan saman di bawah MPKB-BRI sahaja iaitu sehingga tahun lepas kerana penguatkuasaan parkir telah diambil alih oleh sebuah syarikat swasta bermula tahun ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel