Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pegawai khidmat pelanggan didakwa sembunyi harta curi


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





MELAKA, 19 Jun (Bernama) -- Seorang pegawai khidmat pelanggan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menolong menyembunyikan harta curi milik seorang lelaki, tahun lepas. 

Tertuduh, Norma Shafie, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Wanita itu didakwa menolong menyembunyikan harta curi menggunakan akaun bank CIMB miliknya dengan hasil penipuan menyamar sebagai seorang pegawai polis melalui panggilan telefon terhadap Mohammad Dahlan Alib, 42.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Jalan Bendahara di sini pada 27 hingga 28 Feb 2018 mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan Norma yang berkhidmat di sebuah klinik di Sungai Buloh, Selangor dikenakan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Namun, Norma merayu agar dikurangkan jaminan atas alasan dia yang bergaji kira-kira RM2,000 sebulan perlu menanggung tiga anak, dan memaklumkan bakal menyambung pengajian pada tahun depan di sebuah universiti tempatan.

Majistret Teoh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 21 Ogos untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel