Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang Asli Semaq beri berpindah lagi, tidak pulang ke rumah


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





HULU TERENGGANU, 19 Jun (Bernama) -- Kawasan Penempatan Sementara Sekitar Kampung Gerdong, di sini yang menjadi tumpuan Orang Asli Suku Semaq Beri kini kosong dan telah ditinggalkan.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 150 Orang Asli yang berada di situ sejak dua minggu lepas telah bergerak ke kawasan hutan lain.

Seorang Orang Asli yang ditemui namun enggan dikenali berkata kawasan berkenaan dikosongkan sejak petang semalam dan kebanyakan mereka memilih untuk tidak pulang ke penempatan di Sungai Berua sebaliknya ke hutan yang lebih jauh berbanding sebelum ini.

Katanya kumpulan Orang Asli dari suku Semaq Beri atau kaum hutan itu kebiasaannya akan tinggal dalam tempoh lebih kurang dua minggu sahaja di setiap lokasi dan akan bergerak ke hutan lain untuk mengelak sesuatu perkara buruk berlaku.

Pada Sabtu lepas, ketika kunjungan Bernama ke kawasan terbabit, didapati terdapat 26 keluarga termasuk 56 kanak-kanak.

Orang Asli terbabit bukan sahaja membawa seluruh anggota keluarga dan barang makanan tetapi juga haiwan peliharaan terutama kucing dan ayam.

Ketua kumpulan Orang Asli Semaq Beri Ibrahim Awang sebelum ini berkata keputusan mereka masuk ke hutan adalah bagi mengelak penyakit berjangkit dengan Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh yang berkunjung ke Sungai Berua pada awal bulan lepas.

Meskipun mengakui tindakan itu akan menyebabkan ramai anak-anak tidak ke sekolah tetapi berita kematian demi kematian yang berlaku di Kuala Koh menyebabkan mereka tekad untuk keluar dari Sungai Berua.

Selain lebih 150 Orang Asli Semaq Beri di Kampung Gerdong terdapat ramai lagi yang berpindah ke kawasan hutan lain namun tidak dapat dipastikan jumlah dan lokasi mereka.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel