Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Johor cari durian baka baharu 


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





JOHOR BAHRU, 19 Jun (Bernama) -- Johor sedang mencari baka durian baharu terutama durian kampung di negeri ini yang berpotensi untuk diketengahkan dan dikomersialkan menerusi Pertandingan Durian Unggul.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri,  Tosrin Jarvanthi berkata baka durian baharu itu juga berpeluang untuk didaftarkan di bawah Senarai Pendaftaran Varieti Tanaman Kebangsaan Jabatan Pertanian.

Katanya, pertandingan itu merupakan pengisian utama dan julung kali diadakan dalam Ekspo Tani dan Pesta Buah-Buahan Negeri Johor 2019 yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini di Padang Awam Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Kampung Abdullah, Segamat.

Menurutnya, setakat ini terdapat 12 baka durian di negeri ini yang didaftarkan di bawah Senarai Pendaftaran Varieti Tanaman Kebangsaan Jabatan Pertanian.

“Hanya durian dari negeri Johor sahaja yang dibenarkan bertanding dan khusus untuk durian yang belum berdaftar dalam senarai pendaftaran itu. 

“Pencirian durian mestilah menepati ciri-ciri premium yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian. Ia juga perlu ada kualiti dan mutu yang baik,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Jabatan Pertanian Negeri Hishamuddin Ahmad.

Antara durian yang popular di negara ini dan berasal dari Johor adalah Durian Hajah Hasmah ataupun lebih dikenali sebagai Durian IOI.

“Secara tidak langsung jika menemui varieti baharu ini, kita dapat menambah koleksi dan baka baharu yang berasal dari Johor,” kata beliau.

Pemenang berpeluang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, tempat kedua RM750 dan RM500 bagi tempat ketiga.

Tosrin berkata Johor merupakan pengeluar durian terbesar di Malaysia diikuti Pahang dan Sarawak dengan keluasan tanaman sehingga 15,630 hektar dengan nilai pengeluaran hasil sebanyak 692,464 tan pada 2017.

Menurutnya, Segamat merupakan pengeluar terbesar durian di negeri ini dengan keluasan tanaman sebanyak 4,372 hektar dan nilai pengeluaran hasil 10,546 tan pada 2017 diikuti Muar, Tangkak dan Batu Pahat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel