Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Belum ada panggilan daripada penculik - Pesuruhjaya Polis Sabah


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





KOTA KINABALU, 19 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa atau mana-mana pihak belum menerima sebarang panggilan daripada kumpulan bersenjata yang dilapor menculik 10 nelayan Bajau Laut di perairan Felda Sahabat Lahad Datu, awal pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata sehingga hari ini, polis belum menerima laporan atau dimaklumkan mengenai panggilan daripada kumpulan penculik sama ada oleh pemilik bot yang terlibat atau keluarga mangsa.

“Belum ada lagi (menerima sebarang panggilan daripada kumpulan penculik),” katanya ketika dihubungi Bernama mengenai perkembangan terkini kes itu, hari ini.

Mengenai enam nelayan yang terselamat dalam kejadian itu, Omar berkata polis telah mengambil kenyataan mereka semalam di Balai Polis Cenderawasih, Felda Sahabat Lahad Datu bagi membantu siasatan.

Kesemua nelayan yang terselamat itu masih berada di Cenderawasih dan dua bot nelayan yang terlibat dalam kejadian itu juga masih berlabuh di kawasan perairan Felda Sahabat di bawah pengawasan polis.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi, 10 nelayan berkenaan dilaporkan diculik oleh kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf dari dua bot nelayan di perairan Lahad Datu ketika dalam perjalanan menuju ke Semporna.

Mereka dipercayai dilarikan ke Pulai Sitangkai di Selatan Filipina, kira-kira 15 minit perjalanan dari perairan Tambisan, Lahad Datu.

Kesemua mangsa berumur 17 hingga 60 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan hanya memiliki Dokumen Lepa-Lepa yang dikeluarkan kepada pelaut nomad sebagai pengenalan diri nelayan berkenaan. 

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor ketika ditanya mengenai kejadian itu, berkata Bukit Aman menunggu perkembangan terkini berhubung kes itu daripada Pesuruhjaya Polis Sabah.

“Siasatan masih berjalan dan kami masih menunggu perkembangan terkini,” katanya.  

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel