Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Pengendali Perak, Mehmed Durakovic mengakui skuad The Bos Gaurus sepatutnya melakar kemenangan dengan jaringan lebih besar ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Perak, di sini, malam tadi. 

Beliau berkata banyak peluang dihasilkan sepanjang 90 minit permainan namun hanya tiga jaringan berjaya disudahkan oleh anak buahnya. 

"Secara jujurnya, kita boleh hasilkan empat atau lima gol dalam perlawanan ini berdasarkan peluang yang terhidang di hadapan gawang gol Terengganu. 

"Kecekapan dan persembahan cemerlang penjaga gol Terengganu pada malam ini juga seharusnya dipuji kerana dia berjaya menafikan peluang kita untuk meraih kemenangan besar," katanya dalam sidang media selepas perlawanan. 

Terdahulu, dalam perlawanan tersebut Perak berjaya meledak tiga gol menerusi kapten pasukan, Shahrul Mohd Saad pada minit ke-34 dan penyerang import, Ronaldo Henrique di minit ke-69 serta 77.

Sementara itu, gol saguhati Terengganu FC dijaringkan oleh pemain kebangsaan Kemboja Chanthachesey Bin pada minit ke-88. 

Mengulas insiden pemain import lawan, Dechi Marcel N'Guessan yang dilayangkan kad merah pada minit ke-27, Mehmed berkata ia keputusan muktamad pengadil perlawanan dalam mengawal aksi antara kedua-dua pasukan. 

Sementara itu, jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Muhammad Zain berkata beraksi dengan 10 pemain pada separuh masa pertama perlawanan sememangnya menjejaskan aksi anak buahnya untuk melakar kemenangan ke atas Perak. 

Katanya selain itu dengan penggantungan dan kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama pasukan turut menyumbang kepada kekalahan berkenaan. 

"Kita beraksi tanpa Lee Tuck, Ashari (Mohd Ashari Samsudin) dan Malek (Abdul Malek Mat Ariff). Ia sememangnya menjejaskan kita kerana kita tahu Perak merupakan pasukan yang mempunyai kualiti dari segi pemain tempatan dan import. 

"Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan para pemain kita kerana berjuang dalam mengimbangi asakan daripada pasukan tuan rumah," katanya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel