Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tanah Peel Avenue: Keputusan saman fitnah Guan Eng 20 Sept


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 Sept untuk menyampaikan keputusan berhubung kes saman yang difailkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap pemangku Ketua Pemuda  Gerakan Jason Loo Jieh Sheng mengenai artikel berkaitan penjualan sebidang tanah di Peel Avenue kepada Island Hospital.

Hakim Datuk Rosilah Yop turut menetapkan 14 Ogos bagi pihak plaintif dan defendan untuk mengemukakan penghujahan bertulis mereka dan 20 Ogos bagi mereka mengemukakan jawapan balas.

Terdahulu, saksi kedua defendan, Timbalan Ketua Pengarang Guang Ming Daily, Chung Kum Piew memberitahu mahkamah perkara itu membabitkan kepentingan awam dan kenyataan defendan pertama merupakan pandangan beliau berdasarkan fakta utama yang tidak menjadi pertikaian.

"Hakikat bahawa tanah Peel Avenue dipindahkan kepada Ketua Menteri Diperbadankan (CMI) tanpa diumumkan kepada orang ramai merupakan satu fakta. Ketiadaan tender terbuka merupakan satu fakta di sebalik ikrar Pakatan Harapan untuk mentadbir Pulau Pinang berteraskan prinsip Cekap, Telus dan Amanah. Penjualan tanah tanpa menghebahkan terma kepada orang ramai juga adalah satu fakta," katanya dalam keterangannya di sini hari ini.

Dalam pernyataan saksinya, Chung juga berkata aduan plaintif (Lim) berhubung dakwaan bahawa keputusan untuk menjual tanah itu dibuat oleh beliau sendiri adalah tidak benar kerana Enakmen Ketua Menteri Diperbadankan memerlukan kelulusan Exco, telah tidak disokong dengan fakta.

"Tiada maklumat yang boleh diperoleh secara terbuka sebelum isu ini dibangkitkan tentang bagaimana  CMI dikendalikan atau cara ia beroperasi. Malah Enakmen Ketua Menteri Pulau Pinang (Diperbadankan) 2009 tidak menjelaskan secara khusus tentang bagaimana proses CMI membuat keputusan.

"Seksyen 4 Enakmen itu sebenarnya menyatakan bahawa CMI mempunyai kuasa, antara lain, melupuskan sebarang hartanah di bawah hak kepunyaan CMI yang dilihat wajar, menyokong komen defendan pertama (Loo) bahawa keputusan itu dibuat hanya oleh seorang sahaja,” katanya.

Chung menjelaskan sebagai penerbit akhbar, mereka tidak boleh menentukan kebenaran dalam banyak perkara yang berbangkit sungguhpun perkara itu melibatkan kepentingan awam.

"Pemahaman saya dalam undang-undang adalah akhbar berhak untuk mempertahankan laporan sungguhpun mereka melaporkan kenyataan berbaur fitnah selagi ia merupakan laporan yang neutral tanpa sebarang kiasan dan ia merupakan perkara berkepentingan awam, dan kami juga menerbitkan respons atau jawapan kepada dakwaan ini daripada pihak yang terjejas, juga secara neutral dan tanpa kiasan," katanya.

Pada Februari tahun lepas,  Lim, yang kini Menteri Kewangan, memfailkan tiga saman fitnah ke atas Loo berhubung kenyataannya dalam sidang media pada 29 Mei 2017, berkaitan penjualan tanah terbabit.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel