Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Batu Pahat daerah tertinggi catat kematian akibat kemalangan sejak 2016


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





BATU PAHAT, 18 Jun (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan telah mengenal pasti Batu Pahat sebagai daerah yang mencatat kadar kematian tertinggi akibat kemalangan di negara ini semenjak tahun 2016.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bagi tahun berkenaan (2016), sebanyak 207 kematian dicatatkan.

Bagaimanapun, kadar kematian akibat kemalangan menurun 20 peratus kepada 165 kematian sebaik Program My Safe Road dilaksanakan pada tahun 2017.

Walau bagaimanapun, pada tahun lepas jumlah kematian meningkat lapan peratus kepada 178 orang.

Pada suku pertama tahun ini sahaja, 44 nyawa terkorban di daerah itu, kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat Program My Safe Road, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Loke berkata bagi kemalangan di seluruh negara, usia mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya adalah sekitar 15 hingga 25 tahun dengan kebanyakan daripada mereka adalah penunggang motosikal.

Oleh yang demikian, pihaknya merangka pelbagai program dalam usaha mengurangkan kadar kematian dengan antaranya memperkasakan Program My Safe Road ini, yang akan difokuskan di beberapa lokasi ‘panas’ yang mencatat kematian tertinggi.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Datuk Suret Singh dan Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly.

Selain itu, pihak kementerian turut berhasrat mengadakan beberapa program advokasi di sekolah serta pusat pengajian tinggi kerana kadar kematian juga ada melibatkan penuntut universiti.

Berkenaan dengan laluan persekutuan FT50, iaitu Jalan Kluang, di sini yang merupakan laluan yang mencatatkan kematian tertinggi di nagara ini, pihak kementerian menganggarkan kos RM300 juta untuk menaik taraf laluan ini agar kadar kematian dapat dikurangkan

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya untuk tujuan projek naik taraf ini dengan membina pembahagi jalan dan pusingan U sepanjang 17 kilometer, di mana ia merupakan lokasi hotspot kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Kami juga merancang akan memperbanyakkan rumble strips (jalur bergetar) di lokasi tertentu agar pengguna jalan raya dapat memperlahankan kenderaan masing-masing, sekali gus menyedari lokasi yang mempunyai risiko berlakunya kemalangan,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel