Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan tujuh lelaki cetus pergaduhan di Sungai Petani


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





SUNGAI PETANI, 18 Jun (Bernama) -- Polis menahan tujuh lelaki tempatan berusia lingkungan umur antara 15 dan 42 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di kawasan perumahan Flat Paya Nahu dekat sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata pergaduhan itu dipercayai tercetus selepas berlakunya kemalangan kecil membabitkan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki yang terlanggar seorang pejalan kaki iaitu kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

“Lima suspek yang ditahan pada hari kejadian akan direman selama empat hari iaitu sehingga 20 Jun ini bagi membantu siasatan, manakala dua suspek masing-masing berusia 15 tahun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang dua hari lepas, pergaduhan tercetus antara dua kumpulan susulan kemalangan kecil, yang menyaksikan dua lelaki memukul penunggang serta pembonceng motosikal di samping merosakkan motosikal menggunakan kayu dan besi.

“Pada masa sama, seorang lelaki yang memandu kereta untuk membawa kanak-kanak perempuan terbabit kemalangan itu ke hospital, telah mengundurkan kereta dengan laju dan hampir melanggar dua kanak-kanak lain, menyebabkan kekecohan tercetus kembali,” katanya.

Beliau berkata dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah termasuk dikehendaki bagi jenayah sama dan menafikan pergaduhan terbabit membabitkan kumpulan kongsi gelap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148/324 Kanun Keseksaan kerana membawa senjata ketika merusuh dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Dua mangsa cedera dalam insiden itu iaitu kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, mengalami luka pada bahagian kaki kanan dan siku kanan akibat kemalangan, manakala seorang lagi mangsa, lelaki berusia 45 tahun, luka pada kepala disyaki dipukul dengan kayu yang mempunyai paku,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Adzli berkata polis meningkatkan rondaan di kawasan terbabit dan keadaan kini tenang serta terkawal.

“Bagaimanapun hari ini video mengenai kekecohan itu menjadi tular dan dikhuatiri menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, justeru saya menggesa masyarakat agar tidak menyebarkan video tersebut serta tidak mengambil tindakan sendiri atas apa jua kejadian yang berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel