Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PTG Johor digalak berunding dengan Orang Asli Seletar selesai isu pampasan tanah


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggalakkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor supaya mengadakan rundingan dengan 51 Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Kuala Masai bagi menyelesaikan isu pampasan tanah di Stulang Laut, di sini, yang masih tertangguh sejak sembilan tahun lepas.

Peguam Tan Poh Lai  yang mewakili kesemua Orang Asli berkenaan berkata Hakim Mahkamah Tinggi See Mee Chun menggalakkan PTG Johor selaku responden kes itu melakukan rundingan tersebut sebelum sebutan semula bagi pengurusan kes berkenaan diadakan 5 Ogos depan.

“Pada 3 Jun lepas, kesemua Orang Asli Seletar ini sudah memfailkan permohonan semakan kehakiman mandamus bagi menyelesaikan isu pampasan tanah ini dan hari ini ditetapkan pengurusan kes ini.

“Jadi, pada hari ini Yang Arif (Hakim See Mee Chun) menggalakkan pihak responden terutama Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor supaya berunding dengan pihak plaintif (Orang Asli Seletar) dengan sekurang-kurangnya sekali rundingan, sebelum sebutan semula pengurusan kes ini pada 5 Ogos depan,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Sivil, Menara Cyberport, di sini hari ini.

Tan berkata pada prosiding hari ini, PTG Johor diwakili peguam Suhana Sabian.

Beliau berkata permohonan semakan kehakiman mandamus merupakan perkara serius dan pihaknya sehubungan itu merayu kepada pihak PTG supaya mengadakan rundingan dengan pihak plaintif.

“Sejak permohonan semakan kehakiman mandamus itu dibuat, tiada wakil Kerajaan Negeri Johor mahu pun PTG menghubungi plaintif untuk berunding.

"Saya harap dan merayu supaya responden terutamanya PTG berunding dengan plaintif supaya kita boleh selesaikan perkara ini dengan rundingan tanpa berlawan di mahkamah,” katanya.

Terdahulu, diketuai Kelah Lah, 38, dan Khalip Bachik, 57, kesemua Orang Asli tersebut sebelum ini berjaya dalam saman pemula yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, di sini, terhadap tiga defendan pada 2008 iaitu Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Sept 2010, semua Orang Asli itu perlu dibayar pampasan mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960, berhubung pengambilan balik yang salah di sisi undang-undang dan pampasan itu perlu ditaksir oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru.

Pada 3 Jun lepas, permohonan semakan kehakiman mandamus difailkan bagi mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor selaku responden pertama melaksanakan penaksiran tanah itu selaras dengan akta dan perintah terbabit.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel