Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kastam Kedah rancang wujud empat syif waktu kerja


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





ALOR SETAR, 18 Jun (Bernama) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merancang untuk mewujudkan empat syif waktu bekerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam selepas kompleks itu beroperasi 24 jam bermula tengah malam tadi.

Pengarah JKDM Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, walaupun pelaksanaan operasi masih terlalu awal, namun langkah itu dapat memastikan aspek kawalan dan pemeriksaan tidak terjejas serta dapat melancarkan proses penugasan anggota.

“Kita bercadang mewujudkan penggiliran penugasan empat syif dalam tempoh 24 jam, maknanya setiap syif itu anggota akan bertugas selama lapan jam dan satu syif akan bercuti, kemudian esoknya anggota yang bertugas akan masuk dan kumpulan lain pula bercuti.

“Setakat ini kita belum merancang untuk menambah anggota (di ICQS), namun jika perlu tambah kita akan tambah...apa pun buat masa ini saya tak boleh bagi banyak komen sebab ia baru dan tidak sampai 24 jam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya JKDM Kedah di sini, hari ini.

Johari mengulas tindakan susulan yang akan diambil JKDM Kedah selepas pengoperasian ICQS Bukit Kayu Hitam dan Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand selama 24 jam mulai tengah malam tadi.

Sementara itu, Johari mengingatkan pemandu kenderaan berat, kargo atau trak agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan di atas lanjutan tempoh operasi ICQS berkenaan.

“Dalam hal ini, tidak ada pengecualian bagi sesiapa sahaja yang bawa barangan dagangan dan dia mesti buat pengikraran barangan atau muatan yang dibawa dengan betul kerana proses pemeriksaan berjalan seperti biasa dan menjadi keutamaan kami,” katanya.

Mulai hari ini, pintu sempadan masuk di ICQS Bukit Kayu Hitam dibuka 24 jam dan akan dijalankan untuk tempoh percubaan selama tiga bulan, melibatkan hanya pergerakan kargo dan barang yang dibawa oleh trak dan kenderaan berat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel