Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

IMARET akan bekal sistem air terawat di Kuala Koh


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





KOTA BHARU, 18 Jun (Bernama) -- Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) akan memasang sistem rawatan air lapangan, SafeWhere di Kampung Orang Asli Kuala Koh bagi membekalkan air terawat kepada komuniti di situ.

Ketua Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata Sistem SafeWhere atau 'Safe Water EveryWhere' diiktiraf sebagai projek khas di bawah Persekutuan Perubatan Islam Sedunia (FIMA) sejak 2017 bertujuan meningkatkan akses air selamat kepada penduduk yang memerlukan di seluruh dunia.  

“SafeWhere bukan hanya membekalkan air bersih tetapi air terawat yang selamat diminum iaitu menepati piawaian standard air minuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

“Air bersih dan selamat adalah intervensi yang paling penting dalam kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, mula mendapat perhatian umum selepas beberapa kematian yang disahkan Kementerian Kesihatan akibat radang paru-paru dan demam campak.

Semalam Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebanyak 37 daripada 112 Orang Asli suku Batek, Kampung Kuala Koh yang dilaporkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, didapati dijangkiti wabak demam campak,

Beliau berkata 37 kes demam campak itu disahkan melalui ujian makmal manakala keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, meliodosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Mengulas lanjut mengenai SafeWhere, Ahmad Munawwar berkata usaha itu menggunakan sistem rawatan air berkuasa solar dengan kapasiti 12,500 liter air terawat sehari.

"Sistem ini mampu bertahan sehingga 10 tahun dan telah dipasang di pedalaman Kelantan, termasuk di Kampung Orang Asli Lambok di Kuala Betis, Gua Musang pada Januari lalu.

"Sehubungan itu, IMARET akan melancarkan kempen pengumpulan dana dalam talian bermula hari ini daripada orang awam atau badan korporat untuk mengumpul dana sasaran sekurang-kurangnya RM60,000 untuk membina sistem rawatan air lapangan terbabit," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata IMARET juga akan bekerjasama dengan pihak berwajib, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi tujuan pemasangan sistem rawatan air itu.

Ahmad Munawwar berkata pemasangan sistem rawatan air lapangan itu adalah usaha berterusan IMARET untuk membantu pihak berwajib menyediakan bekalan air terawat kepada komuniti memerlukan dengan sokongan rakyat Malaysia.

Menurutnya, sumbangan boleh dilakukan dengan melayari Facebook IMARET atau sumbangan dana ke akaun Persatuan Perubatan Islam Malaysia (CIMB 8600 703 709) dengan rujukan 'Orang Asli'.

Katanya, sebelum ini, sistem SafeWhere dipasang di Dabong (Kuala Krai) dan Kuala Betis (Gua Musang) di Kelantan, Ulu Tiram di Johor serta turut digunakan di Kem Pelarian Balukhali/Kutupalong di Cox's Bazar, Bangladesh. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel