Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rugi selepas tukar wang melalui kenalan media sosial


Tarikh kemaskini: 18/06/2019





KUANTAN, 18 Jun (Bernama) -- Hasrat seorang peniaga wanita untuk membeli rantai kristal tidak kesampaian selepas diperdayakan dalam urusan penukaran mata wang dengan individu yang dikenalinya menerusi aplikasi komunikasi sosial, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 40 tahun mendakwa kerugian RM11,000, dikatakan harga perhiasan itu yang telah diberikan kepada suspek lelaki itu. 

"Mangsa mendakwa berminat untuk membeli rantai kristal yang kononnya dari China dan diminta menukar mata wang ke mata wang negara tersebut menyebabkan dia mencari suspek menerusi aplikasi sosial. 

"Mangsa kemudiannya melakukan transaksi pemindahan wang secara online pada hari yang sama ke dalam akaun yang diberikan suspek, yang dikatakan akan memindahkan semula mata wang China selepas menukarkannya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata setelah menunggu hampir seharian, mangsa masih tidak menerima pesanan atau wang daripada suspek menyebabkan dia berasa ditipu lalu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini, petang semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang kerani wanita membuat laporan polis di IPD Temerloh semalam, mendakwa ditipu oleh syarikat kewangan tidak wujud sehingga kerugian RM42,230. 

Mangsa yang berusia 28 tahun itu mendakwa mahu meminjam RM50,000 daripada syarikat yang diketahuinya selepas membuat carian di Internet pada Khamis lepas.

"Mangsa mendakwa diminta membuat bayaran pendahuluan pemprosesan pinjaman berjumlah RM4,130 dan menghantar salinan penyata bank dan kad pengenalan ke suspek menerusi WhatsApp.

“Suspek bagaimanapun didakwa secara berterusan telah meminta wang atas pelbagai alasan sehingga mangsa akhirnya menyedari jumlah yang dibayar sudah menghampiri nilai pinjaman yang diminta," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel