Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tarikh pindah peniaga Pasar Payang ke bangunan sementara diumum tidak lama lagi


Tarikh kemaskini: 17/06/2019





KUALA TERENGGANU, 17 Jun (Bernama) -- Tarikh pemindahan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang ke premis sementara, Pasar Payang 2 di sini, akan diumum dalam tempoh terdekat selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri. 

Tanpa menyatakan tarikh sebenar mesyuarat itu, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada masa ini, peniaga di pasar berkenaan masih boleh meneruskan perniagaan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Kita masih dalam suasana berhari raya… kita beri sedikit tempoh lagi untuk mereka berniaga kerana orang ramai juga masih dalam mood untuk membeli pelbagai barangan sepanjang Syawal ini," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, hampir 800 peniaga di pasar yang sudah beroperasi selama 51 tahun itu merayu agar operasi pemindahan ditangguhkan daripada 15 April seperti yang diminta pemaju, kepada satu tarikh lain selepas Aidilfitri.

Rayuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu itu mendapat perhatian kerajaan negeri yang memberi kebenaran untuk mereka meneruskan perniagaan sehingga Jun ini. 

Peniaga Pasar Besar Kedai Payang itu bakal dipindahkan ke premis baharu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan semula yang bermula April lepas.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata bangunan baharu Pasar Payang 2 telah siap sepenuhnya dan semua persiapan sudah dilakukan untuk menerima kemasukan peniaga dari Pasar Payang sedia ada.

"Namun, kita sedar mana-mana bangunan yang baharu siap dibina, ia ada tempoh kecacatan, jadi kalau ada kerosakan, kita akan baikinya," katanya.

Pasar Payang yang menjadi ikon Terengganu akan berubah wajah, digantikan dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung berbanding dengan keadaan sekarang di mana ada sebahagian bangunan itu retak dan kotor.

Sepanjang tempoh naik taraf pasar sedia ada itu yang dijangka siap dalam masa dua tahun, kesemua peniaga dipindahkan ke bangunan sementara kira-kira 80 meter dari bangunan asal untuk meneruskan perniagaan mereka.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel