Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Seorang lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke hospital awal pagi tadi


Tarikh kemaskini: 17/06/2019




KUALA TERENGGANU, 17 Jun (Bernama) -- Seorang lagi pesakit Orang Asli yang berasal dari Kampung Sungai Berua di Hulu Terengganu dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang pada pukul 2.57 pagi tadi kerana mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Orang Asli yang menerima rawatan di hospital itu ketika ini ialah seramai 10 orang.

"Pesakit lelaki yang berusia 29 tahun itu ditahan wad ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut setelah mengalami demam dan batuk sejak tiga hari lepas.

"Berdasarkan siasatan, pesakit tersebut didapati ada berkunjung ke Kuala Koh dekat Gua Musang di Kelantan baru-baru ini kerana mempunyai keluarga di sana," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rabu lepas, lapan pesakit Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh, Gua Musang, dimasukkan ke hospital itu di mana tujuh daripadanya mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan manakala seorang lagi kerana mengalami cirit-birit, sakit perut serta muntah dan sedang menerima rawatan sebagai pesakit Acute Gastroenteritis (AGE).

Kemudian, pada Jumaat, seorang lagi pesakit dari kampung itu dimasukkan ke hospital tersebut. 

Dr Mohd berkata kesemua mereka yang dimasukkan ke hospital itu berumur antara empat dan 29 tahun yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan.

"Keadaan semua mereka dilaporkan stabil, diberi antibiotik dan rawatan kesihatan dengan pemantauan petugas hospital.

"Aktiviti kesedaran mengenai penjagaan kebersihan dan kesihatan juga diteruskan secara harian di Kampung Sungai Berua dan Kampung Gerdong ketika ini," katanya.

Terengganu mempunyai empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah iaitu dua di Hulu Terengganu manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel