Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelantan mohon stesen ECRL Tok Bali dijadikan stesen penumpang, kargo


Tarikh kemaskini: 17/06/2019





KOTA BHARU, 17 Jun (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memohon agar stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Tok Bali dijadikan sebagai stesen penumpang dan kargo bagi mengoptimumkan pembangunan ekonomi di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata ia berikutan keputusan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang memutuskan untuk membangunkan tanah seluas kira-kira 80 hektar di Cherang Ruku sebagai kawasan industri.

"Kawasan industri berkenaan terletak kira-kira 15 kilometer dari Stesen ECRL Tok Bali dan jika ia hanya dijadikan stesen bagi penumpang sahaja, ia akan mengurangkan manfaat kepada kawasan tersebut.

"Jika Stesen ECRL Tok Bali turut digunakan untuk mengangkut kargo ia akan merancakkan pembangunan ekonomi di Kelantan sekaligus dapat memberi saingan kepada Kemaman di Terengganu dan Songkhla di Thailand," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) yang bertanyakan kesan ECRL kepada Kelantan dan rakyatnya serta industri hiliran.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini memutuskan untuk menukar fungsi Stesen ECRL Tok Bali kepada mengangkut penumpang sahaja walaupun pelan asal digunakan untuk mengangkut penumpang dan kargo.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang mahu tahu mengenai alasan kerajaan Persekutuan yang memendekkan laluan ECRL setakat Stesen Kota Bharu sahaja, Hanifa berkata ia berikutan faktor pengoptimuman kos.

"Kerajaan Persekutuan juga memberi alasan bahawa mereka akan membangunkan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) sehingga ke Pengkalan Kubor di Tumpat, jadi dua stesen ECRL sebagaimana dalam pelan asal membabitkan Wakaf Bharu, Palekbang dan Pengkalan Kubor, terpaksa dibatalkan.

"Bagaimanapun kita akan terus membuat rayuan agar Stesen ECRL Tok Bali akan dijadikan stesen bagi mengangkut penumpang dan kargo kerana ia memberi manfaat besar kepada limpahan ekonomi di Kelantan," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     

Penubuhan KPSM inisiatif tingkatkan sosioekonomi pekebun kecil

 
     

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel