Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rumah kosong punca wabak denggi di Kluang


Tarikh kemaskini: 16/06/2019





BATU PAHAT, 16 Jun (Bernama) -- Sebanyak 400 rumah kosong dipercayai menjadi punca wabak denggi di Taman Sri Lambak, dekat Kluang, sehingga menyumbangkan dua daripada tiga kematian di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata daripada jumlah itu,  sebanyak 10 buah rumah kosong telah dikeluarkan notis selain dipecah masuk untuk kerja-kerja menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata kerja pecah masuk berkenaan terpaksa dilakukan susulan kes denggi yang berlaku  di kawasan terbabit sehingga mengakibatkan kematian.

Selain dua kematian di kawasan perumahan itu, empat mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi manakala 62 lagi disahkan menghidap wabak denggi.

“Daripada siasatan Pejabat Kesihatan daerah, terdapat 400 rumah kosong di kawasan wabak (Taman Sri Lambak) dan kini kita sedang dalam usaha mengenal pasti pemilik rumah berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri Semerah, di sini hari ini.

Menurut Anggota DUN Semerah itu, kerjasama akan dilakukan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mencari pemiliknya, dan tindakan lanjut seperti diberi notis, sekaligus akan disita sekiranya tiada maklum balas dalam masa yang ditetapkan.

Turut hadir pada majlis rumah terbuka itu ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Selahuddeen Abdul Aziz.

Menurut Mohd Khuzzan lagi, langkah mengekang wabak denggi daripada menular akan terus dilakukan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan PBT dengan mengambil tindakan penguatkuasaan pencegahan nyamuk aedes.

"Saya berharap orang ramai dapat meluangkan sedikit daripada masa mereka untuk membersihkan kawasan sekitar kediaman mereka bagi mengelak dikenakan sebarang hukuman dan paling utama bebas daripada wabak denggi ini.

"Masyarakat juga perlu bersama-sama dan mengikis sikap kebergantungan terhadap pihak PBT dan PKD untuk membersihkan kawasan sekitar kediaman mereka daripada menjadi tempat pembiakan aedes ini," katanya.

Mengulas mengenai isu lain, beliau berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menutup Klinik Komuniti di negeri ini.

Sebaliknya, kerajaan negeri bercadang untuk terus memperkasakan Klinik Komuniti yang terdapat di negeri ini bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh kerajaan mendapat liputan yang menyeluruh oleh rakyat. 

“Setakat ini, terdapat 18 Klinik Komuniti di seluruh Johor dan tidak ada sebarang penutupan yang dibuat ekoran sambutan yang menggalakkan daripada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

"Kita (kerajaan negeri) bukan hanya akan memperkasakan Klinik Komuniti sahaja, sebaliknya semua fasiliti kesihatan yang kita ada termasuk klinik desa dan klinik kesihatan turut akan diberi perhatian kerana kita mahu semua kemudahan ini berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu video yang tular di laman sosial dipercayai pengamal-pengamal perubatan persendirian yang mendesak agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menutup semua Klinik Komuniti di negara ini dan mendakwa klinik-klinik berkenaan telah menganggu periuk nasi mereka.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel