Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Alliance Steel wujud peluang niaga tempatan bernilai RM530 juta


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





KUANTAN, 15 Jun (Bernama) -- Pelabur terbesar Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di sini, berjaya mewujudkan peluang perniagaan tempatan bernilai RM530 juta dalam tempoh tiga tahun penubuhannya. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kewujudan ASSB di Gebeng di sini juga setakat ini terbukti membantu 2,700 anak tempatan mendapat peluang pekerjaan dengan tawaran gaji menarik. 

"Impak pembangunan MCKIP dan pelaburan yang dibawa masuk telah menyaksikan pembangunan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan jalan, kemudahan utiliti, usaha peluasan pelabuhan dan rangkaian komunikasi yang memberi manfaat kepada penduduk setempat," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pentauliahan projek pengeluaran 3.5 juta tan setahun keluli bersepadu milik ASSB, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming. 

Hadir sama, Zhou Xiaoxi iaitu Presiden Guangxi Beibu Gulf International Port Co Ltd yang merupakan antara syarikat terbabit membangunkan ASSB sebagai pelabur terbesar MCKIP dengan kapasiti kawasan seluas 287.3 hektar. 

Wan Rosdy berkata beliau turut dimaklumkan bahawa ASSB adalah antara lima syarikat utama China yang beroperasi di Malaysia dari segi pelaburan yang berjumlah RM5.6 bilion. 

"Saya dimaklumkan bahawa 16.15 peratus (daripada pelaburan) telah digunakan untuk teknologi hijau termasuk (kemudahan kendalian barangan) konveyor tubular sepanjang 12 kilometer dari Pelabuhan Kuantan," katanya. 

Selain itu, Wan Rosdy turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited bagi memudahcara pelabur menjalankan perniagaan di sini, termasuk menerusi sokongan kerajaan Persekutuan dan agensi terlibat. 

Sementara itu, Zhou Xiaoxi dalam ucapannya berkata ASSB yang membabitkan jumlah pelaburan US$1.4 bilion (kira-kira RM5.84 bilion) merupakan usaha sama antara Guangxi Beibu Gulf International Port Company Limited dan Guangxi Shenglong Metallurgical Company Limited.

Syarikat itu turut mengamalkan prinsip 'In Malaysia, For Malaysia' (Di Malaysia, Untuk Malaysia) dan berpegang teguh kepada undang-undang negara ini selain menghormati budaya dan agama rakyat tempatan. 

Menurutnya, projek ASSB yang mula beroperasi pada Mei tahun lalu turut menjadi contoh pembangunan besi keluli moden yang canggih serta mesra alam. 

"Setakat ini, ASSB telah meraih pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti ISO serta pengiktirafan produk daripada 10 negara lain termasuk Singapura, United Kingdom, Korea Selatan, Thailand, Jepun serta China dan dipasarkan di 20 buah negara," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel