Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hasrat nikmati rendang ayam terbantut selepas dua ekor ayam ditelan ular sawa


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





ALOR SETAR, 15 Jun (Bernama) – Hasrat seorang warga emas untuk menikmati masak rendang ayam bagi sambutan Hari Raya terbantut apabila dua ekor ayam kampung peliharaannya dibaham ular sawa batik di belakang rumahnya di Lorong Haji Wahab, Padang Temusu dekat Sungai Petani pagi tadi.

Aziz Ismail, 71, berkata ular sepanjang kira-kira lebih dua meter itu ditemui kira-kira 7.15 pagi dalam keadaan melingkar kekenyangan setelah dipercayai menelan dua ekor ayam peliharaannya dalam reban di belakang rumah.

“Setiap hari saya akan ke reban ayam untuk lepas ayam dan bagi makan, bagaimanapun keadaan agak sepi...setelah menjenguk dalam reban saya terkejut melihat ular sawa batik sedang melingkar dan sudah kekenyangan.

“Ular sawa itu dipercayai masuk melalui bumbung reban dari semak belakang rumah...saya ingat nak sembelih untuk buat rendang ayam untuk jamuan  raya, namun ular sawa lebih ‘awal’ ceroboh dan makan ayam  kami,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehubungan itu, Aziz kemudian meminta bantuan anaknya, Nur Afishah, 31, untuk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda untuk menangkap reptilia berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.19 pagi sebelum tiga anggotanya ke lokasi kejadian.

“Anggota APM terpaksa menggunakan peralatan khas untuk menangkap ular sawa batik seberat 11 kilogram. Ular itu kemudian dibawa balik ke pejabat APM Kuala Muda di Sungai Petani sebelum diserahkan  kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel