Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sultan Selangor rasmi pembukaan besar-besaran Central I-City


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





SHAH ALAM, 15 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan pembukaan besar-besaran pusat membeli-belah Central I-City di Seksyen 7, di sini.

Turut berangkat adalah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan kedua-dua baginda berkenan mencemar duli melawat pusat membeli-belah tersebut selepas majlis perasmian berkenaan. 

Hadir sama adalah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Pattana Public Company Limited (CPN) Preecha Ekkunagul dan Pengerusi Eksekutif I-Berhad (I-Bhd) Tan Sri Lim Kim Hong.

Pusat membeli-belah enam tingkat yang menawarkan 940,000 kaki persegi ruang jualan kreatif itu dibuka kepada orang ramai secara berperingkat sejak Mac lepas dan ia merupakan projek antarabangsa pertama oleh CPN.

Central i-City yang mempunyai lebih daripada 350 premis pelbagai jenis perniagaan merupakan projek kerjasama antara CPN yang memegang 60 peratus kepentingannya dengan anak syarikat I-Bhd, I-City Properties Sdn Bhd (ICP) yang memegang 40 peratus kepentingan pusat membeli-belah berkenaan.

Preecha Ekkunagul dalam ucapannya pada majlis perasmian itu menyatakan projek berkenaan dilihat sangat penting kepada syarikat tersebut kerana ia mempamerkan sisi pusat membeli-belah utama yang dibangunkan CPN di luar Thailand.

“Central I-City, sebuah projek usaha sama dengan kos RM850 juta yang dibangunkan dengan rakan kongsi I-Bhd, mewakili yang terbaik daripada apa yang telah kami pelajari melalui 33 gedung membeli-belah yang kami usahakan sejak 40 tahun lalu di Thailand.

“Ia bukan hanya sekadar pusat membeli-belah baharu, tetapi sebaliknya, ia adalah simbol kebanggaan, terutama bagi penduduk Klang dan Shah Alam. Ia adalah pusat komuniti serta hab bagi perdagangan, perniagaan dan pekerjaan,” katanya.

Tambah beliau, lokasi pusat membeli-belah itu di kawasan pembangunan I-City dilihat sangat strategik kerana ia merupakan pusat siber Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia selain mempunyai infrastruktur yang unggul, jaringan perhubungan terbaik dan pelbagai kemudahan lain.

Selain itu katanya, pemilihan I-City sebagai lokasi ‘segi tiga emas’ Selangor seperti yang pernah dinyatakan menteri besar sebelum ini menunjukkan kawasan berkenaan mampu membentuk masa depan ekonomi, inovasi dan pembangunan yang terbaik kepada negeri termaju tersebut.

Beliau berkata hubungan diplomasi dan perdagangan yang baik antara Malaysia dan Thailand serta visi terunggul ditunjukkan I-Bhd dan pengalaman syarikat itu juga telah meyakinkan CPN untuk membangunkan pusat membeli-belah pertamanya di negara ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel