Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pulau Pinang sambut Hari Keluarga peringkat negeri


Tarikh kemaskini: 15/06/2019




GEORGE TOWN, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang hari ini buat pertama kalinya menyambut Hari Keluarga peringkat negeri bagi mengiktiraf pembentukan asas keluarga untuk masyarakat yang makmur, stabil dan bahagia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Chong Eng berkata keluarga sebagai institusi memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan fizikal, mental dan spiritual masyarakat serta kerajaan negeri memberi keutamaan dan perhatian teliti perkara ini dalam pentadbirannya.

“Buat pertama kalinya dalam kalendar negeri, kami secara rasmi menyambut Hari Keluarga. Sambutan ini juga bertujuan mewujudkan ruang buat anggota keluarga meluangkan masa berharga bersama untuk memupuk dan meningkatkan silaturahim antara satu sama lain.

“Apa yang lebih penting ialah ia juga berfungsi sebagai peringatan kepada ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak yang sangat memerlukan mereka,” katanya ketika berucap pada sambutan itu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini.

Chong berkata sebagai ibu bapa kepada anak-anak, menjadi tanggungjawab keluarga untuk mendidik, menyokong dan memotivasikan mereka supaya anak-anak ini cemerlang dan yakin mengejar impian mereka.

“Bermula dengan keterangkuman gender di rumah, ia adalah amalan untuk memastikan setiap keputusan yang dibuat, besar atau kecil, mengambil kira keperluan dan jangkaan setiap anggota keluarga, bukan hanya daripada ketua keluarga kerana ia penting dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata dalam memastikan persekitaran di rumah mengamalkan keterangkuman gender, ia memerlukan keluarga mengambil tanggungjawab untuk aspirasi anak-anak mereka.

“Sebagai contoh, membenarkan anak perempuan mengejar impian mereka untuk menjadi juruterbang manakala anak lelaki mencapai cita-cita mereka menjadi jururawat. Kedua-dua pekerjaan mulia ini perlu mendapat sokongan ibu bapa,” katanya.

Pada sambutan hari keluarga itu, banyak program diadakan termasuk aktiviti interaktif, forum untuk dua generasi dan sesi bercerita.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel