Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perasaan panik halang Felda United menang besar


Tarikh kemaskini: 15/06/2019





MARAN, 15 Jun (Bernama) -- Perasaan panik yang menghantui pasukan Felda United menghalang The Fighters untuk menang besar semasa bertemu PKNS pada siangan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, semalam. 

Ketua jurulatihnya Mohd Nidzam Jamil yang mengakui perkara itu berkata perasaan panik juga nyaris menyebabkan mereka kehilangan tiga mata yang amat berharga bagi membaiki kedudukan pasukan. 

"Kita sepatutnya berupaya mengakhiri perlawanan dengan kemenangan besar jika situasi panik tidak berlaku...apa pun saya bersyukur Felda United menang dan paling penting kita dapat berganjak daripada kedudukan bawah.

"Ketika kita mendahului pada kedudukan 5-1, kita sepatutnya ‘kill the game’...tetapi semua panik termasuk saya yang sehinggakan apabila mahu menukar pemain, kita berfikir macam-macam," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan. 

Pada perlawanan itu, Felda United mencatatkan kemenangan keduanya musim ini, selepas menang tipis 5-4 terhadap PKNS menerusi jaringan Thiago Junio De Aquino pada minit keempat, kapten Hadin Azman (m-44), Faiz Mazlan (m-47) dan dua gol pemain kebangsaan Singapura, Khairul Amri Kamal pada minit ke-51 dan 55.

PKNS pula memperoleh jaringan menerusi Kpah Sherman pada minit ke-15, Tamirlan Kozubaev (m-60), Jafri Firdaus Chew (m-71) dan Rodney Akwensivie pada minit ke-81. 

Mohd Nidzam juga memuji persembahan anak buahnya yang disifatkan bekerja keras untuk bertahan dan melancarkan serangan, namun dalam masa sama, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum perlawanan seterusnya. 

"Kita perlu membetulkan ‘set pieces’ dan sepakan sudut yang diambil supaya dapat berjaya menghasilkan lebih banyak gol pada aksi akan datang. Kami juga banyak dibarisi pemain muda dan saya perlu bersabar menunggu mereka matang dalam perlawanan," katanya. 

Sementara itu, pengendali PKNS K. Rajagobal berkata keyakinan skuadnya goyah apabila pasukan tuan rumah mencipta gol seawal babak separuh masa pertama dan lebih buruk apabila pasukan lawan berjaya membolos tiga gol dalam 46 minit perlawanan. 

"Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa menukar pemain untuk menyeimbangkan permainan dan menghasil satu gol demi satu gol. Secara keseluruhannya, kita bermain kurang baik dan pemain juga tidak memanfaatkan peluang yang diperoleh," katanya. 

Rajagobal mengakui beliau agak kecewa dengan keputusan tersebut dan mengambil tanggungjawab atas  kekalahan tipis itu bersama barisan pemainnya.

"Saya fikir pemain lambat bangkit dan apabila mereka cuba mengejar, ia sudah terlambat. Kemenangan pada perlawanan ini memang penting untuk kita kerana kutipan mata setiap pasukan dalam liga tidak jauh berbeza," katanya.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel