Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Baharu pulang ziarah saudara sakit sebelum maut


Tarikh kemaskini: 14/06/2019




KUANTAN, 14 Jun (Bernama) -- Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Cherok Paloh di sini hari ini, difahamkan baharu pulang daripada menziarah saudara mereka yang sakit. 

Saudara mangsa, Rafie Ismail, 42, berkata dia diberitahu Asnawati Muslimin, 53, mengajak anaknya, Nurul Jannah Bazlan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menziarah bapa saudara mereka yang sudah seminggu berada di wad kerana penyakit buah pinggang. 

"Saya diberitahu mereka keluar dari rumah di Kampung Ketapang Tengah di Pekan sekitar 10 pagi kerana mahu mengejar waktu melawat tengah hari," katanya semasa ditemui di perkarangan Unit Forensik hospital itu di sini, hari ini. 

Pada kejadian 4 petang tadi, Asnawati, Nurul Jannah, 24, dan anak sulungnya Nursyaffina Qalesya Mohammad Solahuddin, 4, maut akibat cedera parah di kepala selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna, Chery Eastar yang berada di laluan bertentangan. 

Kemalangan juga menyebabkan anak bongsu Nurul Jannah, Muhammad Syamil Aqmal, setahun, dan adik Nurul Jannah, Nurul Syaffiya, 17, yang berada di tempat duduk belakang cedera. Turut cedera ialah pasangan suami isteri yang menaiki Chery Eastar.

Rafie berkata suami Asnawati, Bazlan Harun, 50,  memintanya untuk menguruskan jenazah di HTAA kerana suami Nurul Jannah, Mohammad Solahuddin Mohd Saufi, 30, kini menemani anaknya yang berada di zon kecemasan hospital sama. 

Katanya, semua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketapang Hilir pada pagi esok. 

"Suami Asnawati memberitahu dia agak terkejut apabila diberitahu mereka terlibat kemalangan di jalan itu kerana Nurul Jannah tidak pernah melalui jalan dalam ke Pekan kerana lebih suka melalui jalan utama Penor," katanya. 

Sementara itu, bapa mentua Nurul Jannah yang hanya dikenali sebagai Mohd Saufi, 50-an, berkata kali terakhir mereka bertemu ialah pada Rabu lepas, apabila arwah sekeluarga pulang ke Taman Chini Permai, Pekan. 

Katanya, semasa itu Nursyaffina Qalesya yang dipanggil kakak, begitu manja dan mengikutnya keluar untuk menjemput anaknya yang masih bersekolah. 

"Masa nak balik, kakak minta untuk makan aiskrim milo yang dibuat neneknya untuk berjual. Dia tak mahu balik selagi tidak diberi sehingga kami mengalah... barulah dia setuju untuk balik," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel