Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pinggir pantai Tanjung Piai ke Muar dijadikan hab industri ternakan kupang


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





MUAR, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat menjadikan kawasan pinggir pantai meliputi Tanjung Piai, Batu Pahat dan Muar sebagai hab industri ternakan kupang.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata ia berdasarkan aktiviti ternakan yang giat dijalankan oleh nelayan sekitar dilihat berpotensi tinggi untuk dikembangkan selain  hasil pengeluaran memberangsangkan.

Beliau berkata, dalam siri lawatan kementeriannya di beberapa kawasan berkenaan, industri hiliran hasil laut itu turut memberi peluang kepada nelayan yang mengusahakannya menjana pendapatan lumayan. 

“Ini perkara yang akan diumumkan dan pihak kita telah berbincang dengan Menteri Besar (Datuk Dr Sahruddin Jamal) mengenai usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Johor Utara sebagai lokasi utama pertanian.

“Ia sebahagian daripada perancangan dengan mengambil insiatif bersesuaian bagi meningkatkan aktiviti pertanian khususnya memperkenalkan kawasan berkenaan sebagai hab ternakan kupang,” katanya selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram berkata, pihak kementeriannya turut merancang memajukan tanah-tanah pertanian di kawasan Johor Utara sehingga Segamat dengan memfokuskan aktiviti ternakan lembu dan kambing serta membuka kilang baharu.

Beliau berkata usaha itu juga sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan bekalan import dari luar negara seterusnya menjadi pengeluar bagi daging tempatan di seluruh negara. 

“Kita dapati banyak tanah-tanah pertanian dari Segamat hingga Muar yang berpotensi untuk dibangunkan ke arah usaha berkenaan,”  katanya. 

Katanya, ia juga sebahagian usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah import bekalan makanan dari negara luar yang bernilai kira-kira RM50 bilion setahun kepada 30 peratus dalam tempoh  setahun.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel