Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cadangan keluarkan cubaan bunuh diri dari kanun keseksaan tepat pada masanya - Lee Lam Thye


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Keputusan kerajaan mengarahkan Jabatan Peguam Negara mengkaji cadangan untuk mengeluarkan jenayah cubaan bunuh dari Kanun Keseksaan adalah tepat pada masanya, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata antara peruntukan yang perlu dikaji ialah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menyatakan barang siapa mencuba melakukan kesalahan membunuh diri, dan melakukan apa-apa perbuatan pada melakukan kesalahan itu, hendaklah dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau didenda, atau kedua-duanya.

"Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara yang masih menganggap perbuatan bunuh diri sebagai jenayah. Undang-undang Malaysia terhadap bunuh diri diadopsi dari India tetapi India tidak lagi menganggap membunuh diri sebagai jenayah apabila dewan rendah parlimen negara itu pada Mac tahun lepas meluluskan Rang Undang-undang Penjagaan Kesihatan Mental 2016.

“Rang undang-undang itu menganggap individu yang cuba bunuh diri menderita sakit mental apabila melakukan perbuatan tersebut dan dia tidak akan dihukum kerana perbuatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang cuba membunuh diri mesti diberikan rawatan psikiatri dan pemulihan kerana menganggap orang yang mengalami kemurungan atau sakit mental sebagai penjenayah adalah tidak berperikemanusiaan, tidak terfikir oleh akal dan tidak boleh diterima.

Lee yang juga anggota Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental berkata kerajaan dan syarikat insurans perlu memainkan peranan masing-masing dengan memastikan perlindungan insutrans perubatan turut meliputi kecelaruan psikiatri.

Beliau menarik perhatian kepada Singapura sebagai contoh sambil berkata inisiatif itu penting untuk membantu pesakit menanggung kos rawatan melibatkan kesihatan mental.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Jabatan Peguam Negara akan diarah mengkaji cadangan untuk mengeluarkan jenayah cubaan bunuh diri daripada Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel