Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sorotan perbicaraan kes SRC Najib sepanjang minggu ini


Tarikh kemaskini: 14/06/2019




Oleh Suriati Sidek Ahmad

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Peranan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam urus niaga SRC International Sdn Bhd, kawalan penuh beliau terhadap pentadbiran SRC berikutan pindaan ke atas Artikel 117  Memorandum Penubuhan SRC dan Najib sebagai "bos mutlak" yang mempengaruhi KWAP dalam meluluskan pinjaman wang adalah antara keterangan-keterangan utama yang didedahkan sepanjang perbicaraan kes SRC Najib di Mahkamah Tinggi minggu ini.

Berikut adalah bahagian-bahagian penting daripada keterangan saksi-saksi sepanjang perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali:

 

Hari ke-21 (10 Jun):

  • Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP)  Datuk Azian Mohd Noh memberi keterangan bahawa Najib, yang juga Menteri Kewangan pada masa itu, adalah ‘bos mutlak’ beliau dan justeru mempunyai pengaruh ke atas keputusan KWAP untuk meluluskan geran pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd.
  • Azian, 66, saksi pendakwaan ke-38 dalam perbicaraan kes Najib berkata walaupun tiada paksaan undang-undang di pihak tertuduh, dia (Najib) masih menggunakan pengaruh ke satu tahap tertentu, memandangkan dia adalah Menteri Kewangan dan faktanya Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki SRC International Sdn Bhd.
  • “Perkataan-perkataan ‘paksaan’ dan ‘pengaruh’ memberi dua konotasi berbeza. Tiada paksaan di sisi undang-undang tetapi saya tidak boleh katakan hal serupa bagi perkataan ‘pengaruh’. Konotasi dalam surat (permohonan pinjaman SRC International) adalah daripada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang berkuasa ke atas KWAP.
  • “Dia adalah ‘bos mutlak’ saya, jadi saya tidak dapat nafikan bahawa sedikit sebanyak wujud pengaruh tertentu,” kata beliau.
  •  
  • Saksi pendakwaan ke-39, Tan Sri Ismee Ismail,  yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd memberi keterangan bahawa alasan beliau meletak jawatan daripada syarikat itu adalah kerana isu-isu yang berbangkit daripada resolusi yang meluluskan akaun SRC yang belum diaudit bagi tahun 2013 . 
  • Ismee, 54, yang juga bekas pengarah bukan eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata beliau meletak jawatan kerana beliau tidak bersetuju dengan pengurusan kewangan dan akaun oleh CEO syarikat. Nik Faisal Ariff Kamil adalah bekas CEO SRC.
  • “Sebelum itu pengurusan SRC telah meminta ahli-ahli lembaga pengarah untuk menandatangani satu resolusi bagi meluluskan akaun bagi tahun 2013 yang belum diaudit.
  • “Tetapi kemudian baru kami tahu bahawa akaun yang telah diaudit, yang kami luluskan itu, sebenarnya belum diaudit. Saya menyedari akaun itu menerusi laporan akhbar yang menyatakan SRC tidak ada membuka akaun dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” kata beliau.
  • Ismee memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa semua ahli Lembaga Pengarah SRC telah melawat ibu pejabat Bank BSI Limited, sekarang dikenali sebagai EFG International, di Lugano, Switzerland,  pada September 2013, untuk memastikan bahawa dana milik syarikat masih berada di bank itu.
  • “Kami kena pergi sebab banyak isu telah timbul berkaitan dana di Switzerland. Kami kena pergi untuk memeriksa dengan pihak bank, kerana selama ini, pihak pengurusan hanya bercakap mengenainya. Kami ke sana untuk memuaskan hati bahawa wang kami selamat di dalam Bank BSI,” kata beliau.
  • Merujuk kepada satu daripada minit mesyuarat yang menyatakan bahawa sejumlah wang telah dibawa balik dari Switzerland selepas lawatan itu, beliau berkata wang itu dibawa balik kerana ia tidak digunakan untuk tujuan asalnya iaitu untuk pelaburan.
  • Beliau berkata antara wang yang dibawa balik adalah dana yang bertujuan untuk pelaburan dalam sebuah usahasama dengan sebuah syarikat pelaburan dari Abu Dhabi, Aabar Investments.

Hari ke-22 (11Jun):

 

  • Ismee juga memberi keterangan bahawa Najib mempunyai pelbagai peranan dalam operasi SRC kerana bekas Perdana Menteri itu adalah penasihat emeritus syarikat berikutan penambahan klausa 117 kepada Memorandum dan Artikel Penubuhan SRC.
  • Beliau berkata Najib adalah pemegang saham SRC atas kapasiti beliau sebagai Menteri Kewangan kerana syarikat itu dimiliki oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan.
  • “Saya mengikut arahan Perdana Menteri yang juga Penasihat Emeritus SRC, Menteri Kewangan dan wakil korporat bagi Kementerian Kewangan Diperbadankan,” kata beliau.
  • Ismee mempertahankan keterangannya bahawa Najib mempunyai kawalan penuh ke atas pentadbiran SRC berdasarkan pindaan kepada Artikel 117 yang ditambah kepada Memorandum dan Artikel Penubuhan SRC oleh Najib, yang juga Penasihat Emeritus SRC.
  • “Artikel 117memberi maksud tersirat bahawa SRC mesti mengambil pertimbangan nasihat yang diberi oleh penasihat emeritus dalam perkara-perkara material dan strategik di samping melaksanakan nasihat itu.
  • “Najib adalah penasihat emeritus dan juga perdana menteri pada masa itu,” kata beliau dengan menambah bahawa penasihat emeritus sepatutnya mempunyai kawalan ke atas Lembaga Pengarah SRC dan syarikat itu.
  • Pindaan itu adalah untuk menambah Artikel 117 kepada memorandum penubuhan SRC International,  yang membawa kepada pelantikan Najib sebagai penasihat emeritus syarikat.
  • Ismee juga berkata SRC menerima pinjaman RM4 bilion daripada KWAP dan satu geran sebanyak RM20 juta daripada kerajaan Malaysia sebagai modal pemulaan.

 

Hari ke-23 (12Jun):

 

  • Ismee berkata lembaga pengarah SRC tidak pernah diberitahu bahawa kemudahan pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion yang diperoleh daripada KWAP telah dimasukkan ke akaun bank 'misteri' SRC dan kemudian dikeluarkan semula pada  hari yang sama.
  • Beliau juga mengakui bahawa lembaga pengarah tidak mengetahui akan kewujudan ‘satu lagi’ akaun aktif di AmBank dan lembaga pengarah tiada kawalan ke atasnya.
  • Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam Najib, Harvinderjit Singh, bahawa Lembaga Pengarah SRC tidak pasti akan kebenaran cadangan usahasama yang melibatkan sebuah syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi, Aabar Investments PJS.
  • Harvinderjit merujuk kepada minit mesyuarat di mana Nik Faisal memberiahu lembaga pengarah pada 2011 mengenai cadangan usahasama itu berikutan pertemuan peringkat tinggi antara wakil-wakil dari Malaysia dan Abu Dhabi, yang membawa kepada permohonan pinjaman permulaan SRC kepada KWAP sebanyak RM3.95 bilion.
  • Ismee juga bersetuju dengan penegasan Harvinderjit bahawa lembaga pengarah tidak ditunjukkan dokumen-dokumen lain oleh Nik Faisal sebagai bukti bagi cadangan usahasama itu.
  •  

Hari ke-24 (13 Jun):

 

  • Ismee memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tiada berjumpa dengan Najib mengenai keraguan-keraguan tentang status pengauditan anak syarikat Kementerian Kewangan itu kerana beliau mahu menyiasat perkara itu.
  • “Saya mahu siasat kenapa tidak dibuat pengisytiharan dan saya memangil (firma) audit Deloitte mengenai kelewatan itu. Mereka (Deloitte) kata tidak menerima sebarang pengesahan audit daripada pihak pengurusan.
  • “Saya mengambil tanggungjawab dan bertanyakan kenapa pengesahan audit tertunggak. Mereka (Deloitte) memberi saya maklumat yang melibatkan urusan dengan bank-bank tempatan, antara lain. Ia berada di atas meja saya selama dua minggu dan saya telah menguruskannya satu persatu. Saya mengambil tanggungjawab menutup akaun-akun itu,” kata beliau.
  •  
  •  
  • Hari ke-25 (14 Jun):
  • Ismee menafikan cadangan untuk menukar pemilikan syarikat daripada 1MDB kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), dicadangkan oleh SRC sendiri.
  • Ketika diperiksa balas oleh Harvinderjit, Ismee berkata perubahan kepemilikan itu diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2012 sebagai Perdana Menteri menerusi arahan MKD.
  • Perbicaraan bersambung pada 17 Jun dengan Ismee menyambung keterangan dalam pemeriksaan balas oleh pasukan pembelaan.
  •  
  • -- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel