Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga mayat Orang Asli yang ditanda pada Rabu dibawa keluar hari ini


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





GUA MUSANG, 14 Jun (Bernama) -- Tiga mayat Orang Asli suku Batek yang ditanda dalam operasi mencari oleh pihak berkuasa pada Rabu lepas dibawa keluar kira-kira 5.55 petang ini untuk proses bedah siasat di Hospital Gua Musang di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin berkata tiga mayat tersebut dipercayai adalah Din a/l Hamdan, 18, dan Fayah a/p Papan, 19, serta adiknya, Safia, 18.

"Jarak ketiga-tiga mayat yang disemadikan terletak antara dua hingga lima kilometer dari satu sama lain dan dipercayai meninggal dunia pada 20 hingga 22 Mei lepas.

"Baki lima mayat yang telah ditanda sebelum ini akan dibawa keluar secara berperingkat-peringkat selepas ini," katanya kepada pemberita di Felda Aring 10 di sini, hari ini.

Pada tengah hari tadi, polis membawa keluar mayat Puja a/p Joh, 20-an, gadis Orang Asli suku Batek Kuala Koh yang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru untuk bedah siasat kali kedua pada 1.30 tengah hari tadi.

Ditanya mengenai empat lagi mayat yang dipercayai disemadikan di hulu Sungai Lebir, Mohd Taufik berkata pasukan pencari akan ke lokasi berkenaan pada pagi esok.

"Saya difahamkan oleh penunjuk jalan Orang Asli, lokasi berkenaan terletak jauh ke dalam hutan dan perlu menyusuri sungai selama kira-kira empat atau lima jam.

"Kami akan masuk pada awal pagi esok ke lokasi supaya pasukan SAR tidak perlu bermalam di dalam hutan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Taufik berkata polis akan membuka kertas siasatan sebagai mati mengejut terhadap 12 mayat Orang Asli berkenaan.

Masyarakat Orang Asli suku Batek mula menjadi perhatian selepas 14 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru.

Statistik terbaru yang diperoleh di Pusat Media menunjukkan seramai 103 Orang Asli menerima rawatan sehingga 13 Jun membabitkan 56 pesakit luar, 42 ditempatkan di wad biasa dan lima di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Daripada jumlah tersebut, ia membabitkan 50 lelaki dan 53 perempuan, melibatkan 53 kanak-kanak di bawah 12 tahun dan 52 pesakit dewasa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel