Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peningkatan FDI bukti Malaysia ada harapan cerah untuk tingkatkan ekonomi : Lim


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama tahun ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai harapan yang cerah untuk meningkatkan ekonominya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata Malaysia telah menunjukkan prospek pertumbuhan yang memberansangkan setelah berjaya menarik keyakinan pelabur asing.

Pada suku pertama 2019, Malaysia mencatatkan FDI yang diluluskan dalam semua sektor sebanyak RM29.3 bilion, atau peningkatan 73.4 peratus berbanding RM16.9 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Peningkatan sebanyak 73.4 peratus itu disumbangkan oleh peningkatan pelaburan yang ketara sebanyak 127 peratus dalam sektor pembuatan kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion pada tahun lepas. 

“Malaysia merupakan destinasi selamat berdasarkan daya saing negara,” kata Lim.

Dalam rantaian bekalan global, Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2019, Malaysia menduduki tempat ke-15 daripada 190 negara sebagai tempat yang paling mudah menjalankan perniagaan.

“Pada 2018, Malaysia menduduki tempat ke-24. Ini suatu pencapaian yang membanggakan dan kerajaan akan terus memudahkan proses serta kos menjalankan peniagaan, yang secara langsung meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia,  katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara EcoWorld Development Group Bhd dan syarikat Fortune 500 Global, PowerChina Group.

Memorandun itu bermatlamat membolehkan kedua-duasyarikat bersama-sama membida projek-projek infrasturuktur di Malaysia.

Lim berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri meminta kerenah birokrasi dalam kawal aturan dan permohonan pelaburan dikurangkan bagi menyegerakan proses kelulusan.

Menteri Kewangan itu berkata sebagai sebuah negara yang berkecuali daripada perbalahan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Malaysia perlu mengambil kesempatan untuk menjadi pusat atau lokasi pelaburan asing.

Malaysia juga akan turut menjadi destinasi pelaburan bagi kedua-dua kuasa ekonomi besar itu, katanya.

Katanya daripada RM20.2 bilion FDI yang diluluskan (pada suku pertama 2019),  RM11.5 bilion disumbangkan Amerika Syarikat, RM4.4 bilion dari China dan RM2.2 bilion dari Singapura. 

“Malaysia juga harus menunjukkan kita mempunyai syarat yang dapat menarik perhatian pelabur serta memberikan kelebihan dan juga peluang kepada mereka,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Lim berkata pembukaan pasaran kepada pengilang China sangat penting ketika rantaian bekalan global sedang menjalani penyusunan semula akibat perang perdagangan AS-China.

Malaysia sudah memperoleh manfaat daripada penempatan semula perniagaan selain peralihan perdagangan dan pelaburan yang berpunca daripada perang perdagangan itu.

“Penyertaan PowerChina akan menghubungkan  dan membuka pintu kepada pelabur berpotensi dari China yang mahu membuka oerpasi perniagaan di Malaysia.

“ Usaha sama antara kedua-dua syarikat ini merupakan contoh Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan China yang merapatkan Malaysia dan China dari segi ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel