Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tujuh Orang Asli Kuala Koh dimasukkan ke hospital Hulu Terengganu


Tarikh kemaskini: 14/06/2019




KUALA TERENGGANU, 14 Jun (Bernama) -- Seramai tujuh Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang pada Rabu kerana mengalami gejala batuk dan sesak nafas.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata selain itu, seorang lagi turut dimasukkan ke hospital yang sama kerana mengalami cirit-birit, sakit perut serta  muntah dan sedang menerima rawatan sebagai pesakit Acute Gastroenteritis (AGE) ketika ini.

Kesemua lapan pesakit yang dimasukkan ke hospital yang berumur antara empat dan 25 tahun itu terdiri daripada tiga perempuan dan lima lelaki. 

"Mereka yang dimasukkan ke wad kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Beberapa sampel klinikal telah diambil dan dihantar ke makmal untuk menjalani ujian pengesahan dan keputusan dijangka akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Seramai 23 Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh tinggal di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu secara berperingkat iaitu tujuh orang telah lama menetap di kawasan itu manakala 16 lagi baru berpindah pada 8 Jun lalu. 

Susulan pemeriksaan itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu akan meneruskan aktiviti pemantauan di kawasan perkampungan Orang Asli di negeri ini.

"Kami akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan saringan kepada mereka yang mempunyai simptom respiratori dan demam serta memberi rawatan kepada mereka yang mempunyai tanda dan gejala itu di penempatan Orang Asli Kampung Sungai Berua dan Gerdong. 

"Aktiviti ceramah kepada komuniti mereka serta nasihat secara berdepan mengenai kebersihan diri dan persekitaran turut ditekankan. Orang Asli juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik berdekatan atau ke hospital jika terdapat anggota keluarga atau rakan-rakan yang tidak sihat," katanya.

Terengganu mempunyai empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah negeri ini iaitu dua di Hulu Terengganu selain Besut dan Kemaman.

Sebelum ini, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di semua perkampungan itu dan mengenal pasti lima sekeluarga yang berasal dari Kuala Koh dan menetap di Kampung Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu. 

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan tanpa sebarang tanda jangkitan saluran pernafasan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel