Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lapan Maut Kemalangan di Jempol: Pemandu treler diarah bela diri


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





JEMPOL, 14 Jun (Bernama) -- Mahkamah Majistret Bahau hari ini memerintahkan seorang pemandu treler membela diri atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan lapan maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, dua tahun lepas.

Perintah itu dibacakan oleh Majistret Khir Nizam Jemari bagi pihak Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Norzailan Omar, 46.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian mengenai segala aspek termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta lalu lintas hingga berlaku kemalangan yang mengorbankan pemandu dan penumpang Proton Exora serta Perodua Myvi dalam kejadian pada 2.20 petang, 11 Jun 2017. 

Norzailan dari Triang, Pahang, didakwa menyebabkan kematian Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 52; Masnoraida M.Yussof, 44; Wan Mohd Muhaimin Wan Mohd Fauzi, 21; Wan Nur Athira Wan Mohd Fauzi, 18; Wan Muhammad Ammar Haziq Wan Mohd Fauzi, 13; Wan Nur Aleesya Wan Mohd Fauzi, 7; Osman Mohamed Taip, 31;dan Rosniza Othman, 32.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta lesen memandu digantung selama tiga tahun.

Peguam D. Anuratha dan Kevin Lai yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah anak guamnya memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan mahkamah menetapkan 15 dan 16 Julai depan untuk membela diri.

Sepanjang prosiding, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 14 saksi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel