Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Azmin tegaskan tidak campuri urusan polis siasat video


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





SHAH ALAM, 14 Jun (Bernama) -- Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau tidak mencampuri urusan siasatan polis berhubung penularan video lucah yang cuba dikaitkan dengan dirinya.

Beliau berkata ia termasuk penahanan anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dan anggota MIC N. Gobalakrishnan semalam, kerana dikaitkan dengan penyebaran video tersebut.

"Penahanan itu?… saya tidak campuri urusan polis, kerana saya kira polis mempunyai tugas untuk jalankan siasatan.

"...dan apa juga tindakan yang diambil polis, saya yakin dibuat berdasarkan tahap profesional polis untuk pastikan proses siasatan (penularan video) berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian ketika ditanya berhubung penahanan Lokman Noor dan Gobalakrishnan oleh sepasukan polis semalam.

Bagaimanapun kedua-dua mereka dibebaskan kira-kira 7 pagi ini selepas siasatan awal polis selesai.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin juga mengesahkan beliau belum dipanggil polis untuk diambil keterangan berhubung isu video tersebut.

"Saya difahamkan Setiausaha Politik  saya  Muhammad Hilman Idham telah membuat laporan polis tentang kes ini pagi semalam dan bagi saya itu sudah mencukupi," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung gesaan beberapa pihak yang memintanya untuk berundur dan meletakkan jawatan dalam kabinet dan parti, Mohamed Azmin bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial video lucah kononnya membabitkan Mohamed Azmin dan seorang lagi lelaki serta dakwaan kononnya sejumlah wang sebuah syarikat disalurkan ke akaun milik menteri itu.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menyifatkan ia komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan memusnahkan karier politiknya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel