Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Simpanan Tabung Haji wanita lesap diperdaya Macau scam


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





KUANTAN, 14 Jun (Bernama) -- Seorang wanita berputih mata selepas wang simpanan Tabung Haji miliknya lesap akibat diperdayakan sindiket Macau Scam, sejak Mac lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 54 tahun itu, hanya menyedari wang simpanannya dikeluarkan tanpa pengetahuan selepas membuat semakan pada 3 Jun lalu. 

Katanya, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada anggota polis dari Kuantan memaklumkan dirinya terlibat dalam kemalangan maut di Seri Kembangan, Selangor selain turut terbabit dalam kes pengubahan wang haram. 

"Mangsa kemudiannya mendakwa dihubungi suspek wanita yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Aisya yang bertanyakan soalan mengenai akaun banknya. Mangsa memaklumkan dia hanya mempunyai satu akaun Tabung Haji. 

"Suspek meminta mangsa menukar akaun Tabung Haji itu kepada akuan Tabung Haji baharu dengan alasan untuk siasatan dan diarahkan mendaftarkan satu nombor telefon bimbit di atas akaun tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohd Wazir berkata mangsa membuka akaun baharu pada 22 Mac lalu dan pada 3 Jun lalu, menyedari wang miliknya sebanyak RM14,600 telah dipindahkan menerusi empat transaksi secara online ke dalam akaun yang tidak dikenali. 

Mangsa akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera dekat sini semalam, dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang pengurus bank di Bera membuat laporan polis semalam, kerana menerima sekeping wang kertas RM100 yang disyaki palsu daripada seorang pelanggan. 

Beliau berkata kejadian itu disedari oleh pekerja bank semasa pelanggan yang berusia 31 tahun itu mahu mendepositkan wang ke dalam akaun miliknya. 

Siasatan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel