Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Selangor cadang naik taraf jeti penumpang Pelabuhan Selatan


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





PELABUHAN KLANG, 14 Jun (Bernama) -- Kerajaan Selangor bercadang untuk menaik taraf  jeti penumpang Pelabuhan Selatan dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan negeri khususnya di kawasan Pulau Ketam, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata pihaknya akan meminta  Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) menyediakan kertas kerja lengkap dan komprehensif bagi melihat bagaimana cadangan itu dapat dilaksanakan.

“Seperti yang kita ketahui jeti ini merupakan jeti utama ke Pulau Ketam yang pulau ini merupakan antara pusat pelancongan di Selangor dan hasil penelitian kami, jeti ini akan sesak dengan penumpang pada hari perayaan dan cuti panjang.

“Bagi mengurangkan kesesakan dan memberi keselesaan kepada penumpang, kami bercadang untuk menaik taraf jeti ini dari segi keluasan dan infrastukturnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke jeti itu di sini, hari ini.

Turut serta,  Pengerusi LPK Ean Yong Hian Wah.

Ng berkata usaha itu juga hanya dapat direalisasikan sekiranya ada kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pihak berkaitan di kawasan jeti tersebut.

“Kami akan lihat tentang kos atau peruntukan yang perlu disediakan sama ada dengan bantuan kerajaan pusat atau negeri, begitu juga dengan kemudahan infrastruktur yang kemudahan ini perlu diselenggara dengan baik dengan bantuan LPK dan pihak pengurusan jeti,” katanya.

Sementara itu, Ean berkata langkah segera yang telah diambil pihaknya ialah dengan menyediakan tempat letak kereta berpagar secara percuma kepada pelancong  selain membuka kaunter tiket yang lebih luas di kawasan jeti tersebut.

Katanya tindakan itu perlu memandangkan bilangan pelancong ke pulau terbabit mencecah sehingga 3,500 orang sehari apabila tiba musim perayaan dan cuti panjang termasuk ketika cuti Aidilfitri baru-baru ini.

“Langkah segera yang diambil ini ternyata memudahkan urusan pelancong yang berkunjung ke sini,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel