Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki kudung kaki terima kerusi roda daripada Perkeso


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





LUMUT, 14 Jun (Bernama) -- Jika sebelum ini seorang bekas pengawal keselamatan terpaksa mengesot untuk bergerak, kini lelaki kudung kaki kiri itu boleh menarik nafas lega apabila keadaannya mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Azman Hamzah, 59, menerima kerusi roda hasil sumbangan Perkeso bagi memudahkannya bergerak serta menguruskan diri selepas anggota tubuhnya itu dipotong sehingga paras lutut pada November 2014 gara-gara kencing manis.

Akibat kencing manis kronik yang dihidapi, Azman turut kehilangan tiga jari kaki kanan sehingga menyebabkan dia tidak boleh menguruskan diri sebaiknya dan terpaksa menumpang kasih di rumah adik perempuan di Segari.

“Sejak kehilangan kaki, saya terpaksa berhenti kerja dan dijaga adik perempuan saya. Dengan keadaan saya begini, saya terpaksa mengesot ke tandas untuk mandi atau ke mana-mana.

“Jadi saya berasa bersyukur kerana pihak Perkeso memberi saya kerusi roda ini yang memudahkan saya untuk bergerak dan juga lebih selesa untuk berehat,” katanya ketika ditemui di pejabat Perkeso cawangan Manjung di sini hari ini.

Azman berkata nasibnya bagai jatuh ditimpa tangga apabila dia disahkan mempunyai masalah buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis tiga kali seminggu pada tahun 2015.

“Saya juga perlu berulang ke klinik panel untuk rawatan dialisis dan saya berasa bersyukur kerana saya mempunyai pencen ilat Perkeso sebanyak RM843 sebulan yang boleh menampung kos ulang-alik tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Perkeso Manjung, Mohd Shaperi Md Salleh berkata kerusi roda tersebut merupakan sumbangan dan tanggungjawab pihaknya dalam menjaga kebajikan pencarum terutama yang menghadapi masalah kesihatan.

"Keadaan kesihatan dan fizikal Azman melayakkannya menerima pencen daripada Perkeso dan hari ini kami menyerahkan kerusi roda yang lebih pratikal untuk kelangsungan hidupnya,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel