Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Op HRA 2019 : JPJ Kelantan rekod 1,125 pelbagai kesalahan


Tarikh kemaskini: 14/06/2019





KOTA BHARU, 14 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan sebanyak 1,125 kes membabitkan pelbagai kesalahan dalam tempoh dua minggu Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 yang dilaksanakan sejak 29 Mei lepas. 

Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapha berkata keseluruhan sepanjang operasi kali ini, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 5,020 kenderaan berbanding tahun lepas hanya 4,800 kenderaan. 

“Op kali ini lebih tertumpu kepada perkhidmatan awam bas ekspres selain kesalahan lesen memandu dan juga cukai jalan yang telah tamat tempoh,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program advokasi dan penutup Operasi Hari Raya Aidilfitri dengan kerjasama daripada Syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad, Ekspres Perdana dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu di sini malam tadi. 

Mahasan berkata, kesalahan paling tinggi sepanjang operasi berkenaan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh sebanyak 444 kes dan tiada lesen memandu atau tamat tempoh sebanyak 335 kes.

Katanya, pihaknya juga turut melakukan pemeriksaan di depo bas dan terminal dan sebanyak empat kesalahan telah direkodkan daripada 324 jumlah bas yang diperiksa.

“Kita percaya pihak pengurusan bas ekspres telah mengambil langkah yang baik dari segi penjagaan dan penyelenggaraan bas kerana jumlah kesalahan tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas iaitu enam kesalahan direkodkan daripada 290 bas yang diperiksa,” katanya. 

Katanya lagi, pihaknya telah membuat 10 penyamaran termasuk penyamaran di atas bas dan juga penyamaran bergambar di lokasi yang dikelaskan berbahaya.

“Sepanjang penyamaran berkenaan, kita telah merekodkan tiga kesalahan pemandu yang memotong di garisan berkembar selain satu kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya. 

Katanya, bagi tempoh operasi itu juga sebanyak empat op motosikal turut diadakan. 

Untuk rekod, sepanjang HRA 2019 di Kelantan sebanyak 21 kemalangan telah direkodkan dan daripada jumlah tersebut enam kes melibatkan kemalangan maut. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel