Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UiTM dan Worldwide Holdings berhad tingkat kerjasama penyelidikan pengurusan sisa pepejal


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





SHAH ALAM, 13 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Worldwide Holdings Berhad (WHB) bagi meningkatkan kerjasama penyelidikan berkaitan teknologi pengurusan sisa pepejal.

Perjanjian persefahaman itu ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif WHB, Datin Paduka Norhazlina Zakaria, disaksikan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Norhazlina berkata perjanjian tersebut akan memberi tumpuan kepada peningkatan penyelidikan terhadap empat bidang utama iaitu bioteknologi dalam rawatan ‘leachate’, rawatan buangan pepejal, projek berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) serta pengurusan rantaian nilai sisa pepejal perbandaran.

“Sebagai pelopor dalam industri tapak pelupusan sanitari di Malaysia, WHB terus berusaha mencari jalan penyelesaian berkaitan pengurusan sisa pepejal melalui teknologi baharu dan moden untuk membawa aspek pengurusannya ke tahap yang lebih tinggi.

“Kerjasama dengan UiTM ini juga dilihat mampu membuka jalan kepada kami untuk meneruskan usaha tersebut demi kebaikan generasi masa depan dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Greenation@UITM di sini, hari ini. 

Norhazlina berkata MoU itu juga merupakan antara program di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan yang akan dilakukan secara berterusan dengan universiti tersebut demi melestarikan alam sekitar.

Beliau berkata kerjasama itu merupakan kali kedua dilakukan selepas perjanjian untuk membangunkan penyelidikan antarabangsa mengenai pengurusan sisa pepejal berjaya pada tahun 2015.

Pada majlis sama, UiTM turut memeterai MoU dan memorandum perjanjian (MoA) dengan tujuh agensi dalam bidang kelestarian alam sekitar iaitu KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB), MyBamboo Sdn Bhd, Geocoon Engineering Sdn Bhd, Firma Arkitek Azman Zainal, Universiti Antarabangsa Al-Madinah serta Jabatan Kerja Raya.

Selain itu, universiti berkenaan juga melancarkan program Greenation@UITM yang bertujuan mempromosikan UiTM sebagai sebuah kampus hijau dan lestari. 

Mohd Azraai dalam ucapannya pada majlis pelancaran program itu berkata UiTM telah banyak menjayakan aktiviti ke arah menjadikan universiti tersebut sebagai sebuah kampus hijau, walaupun masih belum menyertai Ranking Universiti Dunia UI Greenmetric (UIGM).

“Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dan sedang dirancang antaranya projek menanam pokok melalui konsep penanaman moden seperti taman tegak, taman atap, membina panel solar dan pemasangan lampu dengan menggunakan sensor bagi menjimatkan tenaga,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel