Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Sabah sedia jadi pemudah cara, pastikan harga rumah tidak mahal


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah bersedia memainkan peranan untuk memudah cara pemaju perumahan di negeri ini dalam aspek kos tapak tanah dan komponen binaan dalam usaha memastikan harga rumah di negeri itu tidak terlalu mahal dan membebankan pembeli sehingga menyukarkan mereka memiliki rumah sendiri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya kerajaan negeri juga sentiasa bersedia mengenal pasti punca berlakunya peningkatan harga rumah bagi membolehkan masalah itu dapat ditangani termasuk melihat daripada aspek kualiti pelaksanaan untuk memastikan tidak ada projek lambat siap sehingga menyebabkan kos pembinaan semakin meningkat.

Mohd Shafie berkata pihaknya menyedari kebimbangan rakyat Sabah khususnya dalam kalangan belia yang menghadapi kesukaran memiliki rumah sendiri berikutan kos kehidupan tinggi terutama di kawasan bandar besar seperti Kota Kinabalu.

"Kita akan memainkan peranan dan melihat bagaimana meringankan bebanan itu. (kos rumah mahal). Di samping itu, kita juga akan memudah cara daripada segi tanah dan komponen supaya harga rumah tidak terlalu mahal kepada pembeli," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan apa sahaja program perumahan rakyat di Semenanjung seperti Rumah Peduli dilaksanakan di Sabah bagi memastikan inisiatif seumpama itu dapat dinikmati rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Mohammad berkata, kementeriannya akan melihat keperluan untuk mewujudkan Rumah Transit Belia di Kota Kinabalu bagi membolehkan belia berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan di negeri ini menyewa rumah dengan kadar yang rendah. 

"Kementerian mempunyai pelbagai inisiatif perumahan untuk membantu rakyat termasuk menyediakan Rumah Transit Belia di Bukit Jalil. Kita akan mengkaji keperluannya di Sabah supaya belia di negeri ini boleh menyewa rumah RM250 sebulan untuk tempoh lima tahun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohammad berkata, kementeriannya telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM112 juta bagi melaksanakan kira-kira 1,200 projek kecil yang telah diluluskan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Sabah, iaitu melebihi siling peruntukan ditetapkan sebanyak RM45 juta.

Justeru, tidak ada timbul masalah berhubung peruntukan tidak disalurkan kepada PBT bagi membina mahupun menaik taraf projek-projek untuk keperluan rakyat, katanya.

"Tidak ada peruntukan disekat. Semua PBT diberikan peruntukan," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Aloysious Jounoh usahawan roti tempatan di Tuaran

 
     

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel