Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian Kesihatan digesa siasat kematian terbaru Rabies


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





KUCHING, 13 Jun (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa Kementerian Kesihatan menyiasat kes terbaru rabies membabitkan seorang wanita berusia 61 tahun yang meninggal dunia di sini, semalam.

Beliau berkata siasatan perlu dibuat bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP).

Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata beliau rasa kurang senang apabila membaca sejarah kes wanita berkenaan dari Pending itu yang meninggal dunia ketika menerima rawatan  di Hospital Umum Sarawak (HUS)  di sini.

"Dilaporkan doktor yang merawat mangsa gagal menghantar atau merujuk mangsa ke Klinik Rabies Kuching dengan serta-merta. Ini adalah kes kedua di Sarawak di mana doktor gagal merujuk pesakit yang digigit anjing ke Klinik Rabies,” katanya, dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kes kecuaian adalah sangat serius dan tidak sepatutnya berlaku kerana adalah wajib untuk doktor mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan, hari ini, berkata wanita warga emas itu disahkan mengalami jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) semalam.

Beliau berkata wanita itu mempunyai sejarah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanannya semasa mangsa cuba menghalau haiwan itu pada 29 April lalu.

Dr Noor Hisham berkata warga emas itu dikatakan sudah mencuci luka itu selama lima minit dan terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran rumahnya serta diberi temu janji seminggu kemudian.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan kerana berpendapat bahawa luka pada jarinya sudah sembuh tetapi pada 6 Jun lalu, mangsa mula mengalami sakit dan rasa tidak selesa di bahagian lengan tangan kanannya.

Wanita berkenaan kemudian mendapatkan rawatan di HUS pada 8 Jun dan dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit serta diberikan Rabies Immunoglobulin (RIG), katanya.

Beliau berkata dengan pengesahan kes baru itu, jumlah kes rabies di Sarawak sejak wabak diumumkan pada 1 Julai 2017 adalah 19 kes setakat semalam dengan 18 kematian.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sudah mengeluarkan peringatan kepada semua pengamal perubatan di negeri ini supaya memastikan pengurusan kes gigitan haiwan termasuk anjing dijalankan mengikut Garis Panduan Pengurusan Kes Gigitan Haiwan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel