Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Aplikasi dalam talian MyBas Seremban dilancar Ogos ini


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





SEREMBAN, 13 Jun (Bernama) -- Masyarakat di Negeri Sembilan akan boleh mengakses kedudukan dan waktu ketibaan bas selepas pengendali perkhidmatan MyBas Seremban, Cityliner Sdn Bhd melancarkan aplikasi dalam talian, Ogos ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata selain itu, MyBas Seremban juga akan memperkenalkan operasi tanpa tunai dalam perkhidmatan mereka.

“Setiap orang boleh muat turun aplikasi itu dalam telefon bimbit mereka dan boleh lihat pergerakan bas. Maknanya apabila mereka berada di sesuatu perhentian bas, mereka boleh tahu bila bas itu akan sampai.

“Menjelang tahun depan, semua MyBas Seremban di Negeri Sembilan akan menggunakan operasi tanpa tunai bermula dengan kad Touch n Go dan tidak lagi terima wang syiling atau kertas. Ini trend yang kita galakkan kerana negara kita nak menuju ke arah masyarakat tanpa tunai. Ini akan memberi kebaikan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Azlan Shah Parames Albakri dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Loke berkata aplikasi MyBas Seremban itu dibina oleh pengendali perkhidmatan di negeri ini dan turut menggalakkan pengendali MyBas di negeri lain untuk mengikuti langkah serupa.

Ditanya tentang kos untuk membangunkan aplikasi itu, beliau berkata ia akan ditanggung sepenuhnya oleh pengendali perkhidmatan itu.

Selain Negeri Sembilan, Loke berkata perkhidmatan MyBas turut diwujudkan di Perlis, Terengganu dan Perak, namun bukan dalam skala yang besar.

“Negeri Sembilan merupakan negeri awal yang memulakan inisiatif perkhidmatan MyBas ini dan ini satu daripada projek perintis di Negeri Sembilan. Sebab itu dipanggil MyBas Seremban dan sekarang ini diperluaskan. MyBas Seremban ini meliputi seluruh Negeri Sembilan dan bukan Seremban sahaja,” katanya.

Perkhidmatan MyBas Seremban yang dimulakan pada November 2015 dan memiliki sebanyak 98 buah bas dikendalikan oleh Cityliner Sdn Bhd selaku pengendali utama bersama empat pengendali bas yang lain itu iaitu Syarikat Unitedbas Sdn Bhd, The Southern Omnibus Co.Bhd, KR Travel and Tours Sdn Bhd dan Gopi Travel and Tours Sdn Bhd.

Mengenai prestasi MyBas Seremban, beliau berkata perkhidmatan itu mencapai sebanyak 88 peratus bagi kecekapan trip pada tahun lepas dan beliau mahu ia dipertingkatkan lagi.

“Dari segi ketepatan ialah sebanyak 96 peratus dan kita minta sebanyak 98 peratus dan kebolehpercayaan sebanyak 99 peratus,” katanya. 

Terdahulu, Loke mengadakan lawatan ke Terminal One Seremban di sini dan kemudian melawat Pusat Arahan Kawalan MyBas Seremban. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel