Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

52 kes denggi, satu kematian dicatat di Taman Sri Lambak dekat Kluang


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





JOHOR BAHRU, 13 Jun (Bernama) -- Sebanyak 52 kes wabak denggi dicatatkan berlaku di Taman Sri Lambak dekat Kluang, mulai 11 Mei lepas dengan satu kematian dilaporkan pada Ahad lepas (9 Jun).

Pengarah Kesihatan Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata wabak itu kebanyakannya berlaku di sekitar Jalan Yakin, di perumahan berkenaan di mana notifikasi pertama diterima pada 9 Mei lepas.

"Tiga daripada kes tersebut dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang dengan satu kematian dilaporkan pada 9 Jun.

"Hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan di kawasan wabak mendapati punca utama kejadian adalah disebabkan pembiakan (nyamuk) aedes yang tinggi di kawasan tersebut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Selahuddeen berkata rumah-rumah kosong yang bersemak-samun dan kurangnya kerjasama penduduk semasa aktiviti semburan kabus (fogging) dilaksanakan oleh anggota kesihatan merupakan antara faktor penyumbang utama wabak berkenaan.

Beliau berkata antara faktor lain adalah penjagaan kebersihan persekitaran kediaman yang tidak memuaskan di mana pembiakan aedes masih ditemui walaupun pemilik sudah dikenakan kompaun sebelum ini.

Katanya pihak Jabatan Kesihatan sudah melaksanakan pelbagai usaha untuk membanteras penularan demam denggi, termasuk melakukan pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan (PTP) secara berterusan bermula tarikh notifikasi sehingga kini.

"Satu aktiviti ‘walkabout’ turut diadakan di Taman Sri Lambak bagi meninjau keberkesanan aktiviti kawalan pada 10 Jun. Selain itu, aktiviti Larvaciding, Semburan Ruang Thermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) di sekitar kawasan wabak dilakukan setiap lima ke tujuh hari dan aktiviti kawalan terus dipergiatkan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan," katanya.

Menurut Dr Selahuddeen, penguatkuasaan tempat pembiakan turut dilakukan dengan 43 notis dikeluarkan di kawasan Taman Sri Lambak bagi tempoh wabak selain aktiviti pecah masuk rumah kosong akan dilaksanakan seberapa segera bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Aktiviti gotong-royong bersama komuniti dan agensi-agensi berkaitan seperti Kelab Rukun Tetangga (KRT) Yakin Taman Sri Lambak, Ahli Majlis Taman Sri Lambak, The Lions Club, SWCorp dan Majlis Daerah Simpang Renggam juga sudah dilaksanakan pada 18 Mei lepas.

"Satu mesyuarat wabak denggi luar biasa juga diadakan pada 11 Jun lalu yang dipengerusikan Pegawai Daerah Kluang dan dihadiri ketua-ketua dari pelbagai agensi berkaitan," katanya dengan menambah aktiviti promosi turut dilaksanakan melalui edaran risalah kesihatan dan hebahan wabak denggi kepada masyarakat setempat, di samping hebahan di masjid melalui jawatankuasa masjid semasa solat tarawih lepas.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam, khususnya penduduk Taman Sri Lambak supaya sentiasa peka dengan keselamatan dan kebersihan sekeliling kawasan rumah, segera menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau di dalam rumah selain memastikan tiada tempat takungan yang boleh menjadi pembiakan aedes dengan memeriksa persekitaran rumah sendiri.

"Sekiranya terdapat pembiakan aedes di premis kediaman, kompaun RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompauan, denda maksimum RM10,000 boleh dikenakan oleh mahkamah.

"Gunakan repellen apabila berada di luar rumah pada awal pagi dan senja sekitar 5 hingga 7 pagi atau 5 hingga 7 petang dan memakai pakaian lengan panjang serta seluar berwarna cerah," katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat setempat supaya memberi kerjasama kepada pihak Jabatan Kesihatan semasa menjalankan aktiviti penyemburan kabus selain menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.

"Sekiranya mengalami demam, segeralah mendapatkan pemeriksaan kerana sebarang kelewatan boleh membawa maut. Jabatan kesihatan juga berharap orang ramai sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat dari sumber yang boleh dipercayai sebelum menularkan sesuatu informasi," katanya lagi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel