Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

RIA harap program latihan kemahiran industri ECRL diteruskan


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





KUANTAN, 13 Jun (Bernama) -- Akademi Industri Rel (RIA) Universiti Malaysia Pahang (UMP) berharap pihak berkaitan dapat meneruskan Program Latihan Kemahiran Industri - Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) yang ditangguhkan sebelum ini. 

Pengarahnya Ir Dr Fadzil Mat Yahaya berkata keputusan untuk meneruskan semula program itu wajar dipertimbangkan berikutan keputusan terkini kerajaan meneruskan pelaksanaan projek ECRL dengan perubahan pada kos dan laluan asal.

Katanya, program yang dilaksanakan bermula 2017 itu juga direka khusus untuk memberi pendedahan yang menepati keperluan pembangunan ECRL kepada rakyat tempatan. 

"Projek ini memberi peluang kepada generasi muda melibatkan diri dalam projek berimpak tinggi dan mempelajari pengetahuan baharu industri rel sekaligus dapat melahirkan pekerja profesional serta berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut. 

"Kita masih menunggu kata putus dari pihak penaja program iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang sebelum ini merupakan kontraktor utama ECRL," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. 

Fadzil berkata sebelum program itu ditangguhkan atas permintaan kontraktor ekoran keputusan kerajaan untuk mengkaji semula projek ECRL, seramai 447 pelatih telah berjaya menamatkan latihan mereka.

"Jika terdapat keperluan daripada pihak kontraktor untuk meneruskan program, RIA bersedia untuk melaksanakannya berdasarkan keperluan semasa industri.

"RIA kini dalam proses menyusun dan merangka hala tuju untuk masa hadapan dengan mencari peluang keperluan latihan yang boleh ditawarkan berkaitan industri ini berdasarkan keperluan," katanya.

Sementara itu, MRL dalam kenyataaannya berkata mereka sedang mengkaji semula objektif dan silibus program PLKI-ECRL dalam usaha meningkatkan jangkauan program kepada generasi muda tempatan yang berminat, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai status program itu.  

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel