Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kumpulan mendakwa penggerak awal Bersatu Sabah tidak diiktiraf


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





KOTA KINABALU, 12 Jun (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah hari ini membidas dakwaan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka kononnya sebagai penggerak awal parti berkenaan di Sabah sedangkan Bersatu pusat tidak pernah membuat pengiktirafan terhadap mana-mana pihak sebagai penggerak awal parti berkenaan di negeri ini.

Ketua Armada Sabah Mohd Isquzawan Israq Arsit, yang menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan melihat ia dilakukan atas arahan orang tertentu berkata, Bersatu pusat tidak pernah mengiktiraf kumpulan terbabit kerana gerakan dan aktiviti mereka tidak pernah mendapat restu serta kelulusan parti.

"Saya hairan kerana tiba-tiba sahaja muncul individu dan kumpulan tertentu mendakwa mereka adalah penggerak awal Bersatu di Sabah. Lebih menghairankan kumpulan itu mendakwa mereka berpusat di Pulai, Johor Bahru, malah berjaya mendaftar seramai 18,000 anggota di Kudat. Kepimpinan Bersatu Sabah tidak mengenali kumpulan dan individu terbabit.

"Dakwaan kononnya mereka diketepikan tidak timbul kerana kumpulan itu tidak pernah dilantik atau diberi kelulusan bergerak atas platform Bersatu oleh ibu pejabat parti," katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan akhbar tempatan mengenai kumpulan itu yang mendakwa mereka adalah penggerak utama kemasukan Bersatu di Sabah di sini, hari ini.

Dalam laporan akhbar berkenaan turut menyebut kumpulan individu terbabit diketuai Thomas Mojuga Tukang yang mendakwa dirinya sebagai antara tulang belakang penubuhan Bersatu Sabah telah meninggalkan Bersatu bersama 20,000 anggota lain termasuk 260 pemimpin tertinggi dalam kalangan ketua penaja bahagian, pemimpin Armada dan Srikandi.

Mohd Isquzawan berkata Bersatu melebarkan sayapnya ke Sabah pada sekitar Feb lepas, dan individu dilantik oleh kepimpinan tertinggi Bersatu pusat sebagai ketua penaja bahagian dianggap penggerak awal parti itu termasuk wakil rakyat serta bekas pemimpin UMNO kerana mereka diberi kepercayaan dan tanggungjawab bagi menubuhkan bahagian serta cawangan Bersatu di Sabah.

Bagaimanapun, Bersatu Sabah menerima laporan bahawa ramai individu mendakwa dan menyamar diri mereka sebagai pemimpin Bersatu di negeri ini, namun, apabila pembohongan pihak terbabit terbongkar, mereka mula mengeluarkan pelbagai alasan termasuk kononnya keluar Bersatu, katanya.

"Banyak pihak iri hati kerana perkembangan positif serta penerimaan baik rakyat Sabah ke atas Bersatu. Tambahan lagi, Bersatu dipimpin oleh pemimpin berkaliber, berkomitmen dan berintegriti," katanya.

Mengenai dakwaan ada ketua penaja bahagian, Armada dan Srikandi Bersatu di Sabah, Mohd Isquzawan menafikan perkara itu kerana Bersatu Sabah tidak ada menerima sebarang maklumat pemimpin bahagian yang telah mendapat tauliah dari Bersatu pusat bertindak meninggalkan parti.

"Setahu saya tiada (ketua penaja bahagian, Armada dan Srikandi Bersatu di Sabah) bertindak keluar parti seperti didakwa Thomas. Ini jelas satu pembohongan sengaja dicipta Thomas dan kumpulannya yang berniat jahat terhadap kepimpinan Bersatu Sabah," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     

Yong bercuti, beri tumpuan kepada perbicaraan kes rogol

 
     

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel