Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang Asli suku Batek masih terikat dengan kepercayaan lama


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





Oleh Rohaiza Ab. Rahman

KOTA BHARU, 12 Jun (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli suku Batek yang majoritinya telah menganuti agama Islam masih berpegang kuat kepada kepercayaan tradisi yang diwarisi nenek moyang mereka sejak turun-temurun.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) Terengganu Dr Mohamad Asmawi Ibrahim berkata hasil pemerhatiannya terhadap masyarakat tersebut, belum banyak pengaruh Islam dapat dilihat dalam pola tingkah laku harian suku itu.

Beliau berkata suku Batek masih mempercayai adanya satu entiti tertentu atau makhluk ghaib yang mempunyai kuasa dan mempengaruhi kehidupan mereka.

"Entiti itu diberi nama tertentu seperti 'Hala', 'Asal', 'Karei', dan 'Gobar'. Nama berkenaan menjadi lambang kuasa bersifat kekal dan sering dirujuk sebagai kuasa luar biasa atau semangat yang dipanggil 'Orang Hidup'," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohamad Asmawi berkata hasil pemerhatiannya sepanjang menjalankan kajian terhadap kepercayaan masyarakat Batek pada 2017 mendapati kepercayaan itu masih diamalkan pelbagai konteks kehidupan suku itu sehingga hari ini.

Katanya antara contoh berkaitan kepercayaan suku tersebut termasuklah beliau seringkali terdengar wanita atau golongan tua suku itu menyebut 'Gobar' apabila guruh berdentum.

"'Gobar' dikaitkan dengan makhluk luar biasa yang menjaga sungai dan alam cakerawala selain sebagai pengawal tindak tanduk manusia," katanya.

Mohamad Asmawi berkata suku Batek percaya manusia yang melanggar peraturan yang ditetapkan akan menimbulkan kemarahan 'Gobar' dan kemarahan itu akan ditunjukkan dengan menghantar guruh atau petir serta bencana alam lain seperti banjir besar dan kemarau panjang.

Beliau berkata masyarakat yang berasal dari suku Negrito itu juga percaya 'Hala' mempunyai kuasa menjadikan alam dan isinya di samping menyediakan sumber berterusan untuk kesinambungan hidup.

Di samping itu katanya 'Hala' juga sering dikaitkan mempunyai kebolehan sebagai perantara dalam mengendalikan dunia roh dan alam ghaib selain menjadi rujukan pertama apabila berlaku masalah berkaitan penyakit.

Mohamad Asmawi berkata kewujudan semua pantang larang dan kepercayaan dalam suku Batek kerana adanya perkongsian dan hubungan intim dengan alam termasuk tumbuh-tumbuhan, binatang, serangga dan organisma bukan hidup dalam lingkungan ekologi alam semula jadi mereka.

Malah katanya kepercayaan itu banyak mempengaruhi sikap dan tingkah laku mereka dalam semua aspek kehidupan termasuk sosioekonomi dan sistem sosial.

"Suku Batek mempunyai alasan tersendiri dalam melaksanakan kepercayaan dan pantang larang iaitu ia dianggap pelengkap kepada peraturan dan bertujuan menjaga keselamatan supaya tidak ditimpa bencana," katanya.

Beliau berkata suku Batek juga takut melanggar pantang larang kerana meyakini ia akan menyebabkan berlakunya sesuatu kemudaratan dan perkara itu menjadi pegangan kuat sehingga ke hari ini.

Masyarakat Orang Asli suku Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum, selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas berpunca daripada radang paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui hanya setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.

Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

-- BERNAMA     

 


 

   

 
 
     
   
 

Video Lucah: Beri ruang dan waktu untuk polis siasat -- KPN

 
     

Sultan Selangor rasmi pembukaan besar-besaran Central I-City

 
     

Elak minum susu kambing segar dari sebuah ladang di Pulau Indah

 
     

14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel