Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bayi perempuan baru lahir ditemukan di tepi jalan


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





JOHOR BAHRU, 12 Jun (Bernama) -- Seorang bayi perempuan yang cukup sifat dipercayai baru berusia tiga hari, ditemukan di dalam sebuah beg yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Flat Sri Anugerah, Larkin, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata bayi itu ditemukan pada 10.30 pagi tadi oleh seorang suri rumah, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan berjalan kaki dari sebuah kedai runcit.

"Suri rumah berusia 53 tahun itu mendakwa beliau berjalan kaki pergi ke kedai runcit, dan sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya, beliau telah terdengar suara tangisan bayi, lantas berpatah semula ke tempat kejadian sebelum ternampak seorang bayi di dalam sebuah beg berwarna putih corak merah jambu bertulis Mary Kay.

"Pengadu (suri rumah) kemudian memaklumkan penemuan itu kepada seorang pekerja bengkel berhampiran yang selepas itu telah bertindak membawa bayi berkenaan ke tempat kerjanya, untuk dibersihkan dan diberikan susu," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata bayi itu yang dalam keadaan sihat, dan masih bertali pusat sewaktu dijumpai kemudian dibawa pihak polis ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk rawatan.

Dalam masa sama, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dimaklumkan mengenai penemuan bayi itu, katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut diminta menghubungi terus hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Masitah Ali Murtada di talian 013-3721458 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, kerana kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi berkenaan.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Video Lucah: Beri ruang dan waktu untuk polis siasat -- KPN

 
     

Sultan Selangor rasmi pembukaan besar-besaran Central I-City

 
     

Elak minum susu kambing segar dari sebuah ladang di Pulau Indah

 
     

14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel