Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

RM350,000 disalur perbaiki segera fasiliti di Pulau Kapas - Exco


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





MARANG, 12 Jun (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM350,000 telah disalur untuk memperbaiki fasiliti yang rosak di Pulau Kapas sebelum September ini bagi memberi imej lebih baik selain menarik lebih ramai pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri, Ariffin Deraman berkata peruntukan itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan kerja-kerja pembaikan akan bermula Julai ini.

“Antara yang diberi tumpuan adalah laluan pejalan kaki, tangga dan pemasangan semula ‘rubber fender’ di jeti Pulau Kapas.

“Bahagian atap, tandas dan surau juga akan diberi perhatian termasuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan dan laluan jungle tracking untuk memberi imej lebih baik kepada Pulau Kapas,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di pulau itu, hari ini.

Ariffin berkata kerja-kerja pemasangan lampu solar juga akan dilakukan bagi menambah pencahayaan dan keceriaan di kawasan pulau, serta menambahbaik beberapa lokasi tumpuan yang terjejas akibat hakisan pantai.

Menurutnya, punca utama kerosakan adalah disebabkan keadaan cuaca terutama apabila tiba musim tengkujuh malah kedudukan pulau yang di kelilingi air laut juga menjadi faktor banyak peralatan berkarat serta tidak dapat digunakan bagi tempoh lama.

“Pejabat Daerah Marang juga telah memohon peruntukan daripada UPEN untuk menggantikan sistem solar hybrid di Pulau Kapas kepada penggunaan ‘genset’ sebanyak dua unit yang berkapasiti 500kV seunit, bernilai RM1 juta.

“Penggunaan ‘genset’ di Pulau Kapas dapat menjimatkan kos dan secara dasar telah dipersetujui Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ia dijangka membantu pengusaha chalet mengembangkan lagi perniagaan serta dapat menampung pertambahan jumlah kehadiran pelancong,” katanya.

Pulau Kapas yang terletak di Laut China Selatan dengan keluasan 21.33 kilometer persegi terletak kira-kira enam kilometer atau 20 minit dari jeti Marang.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel