Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Great Eastern perlu buka kiosk penerangan tentang MySalam


Tarikh kemaskini: 12/06/2019





GEORGE TOWN, 12 Jun (Bernama) -- Syarikat insurans, Great Eastern Holdings disaran supaya membuka lebih banyak kiosk di hospital-hospital kerajaan untuk membolehkan maklumat berhubung Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (MySalam) sampai kepada golongan sasar.

Tinjauan Bernama di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini mendapati syarikat insurans itu tidak membuka kiosk di situ dan rata-rata orang ramai yang ditemui tidak mengetahui kewujudan skim berkenaan.

Seorang bekas pekerja swasta, Izman Ismail, 57, berkata beliau tahu kewujudan skim itu, namun maklumat yang ada tidak menyeluruh.

"Kalau boleh pihak kerajaan lebih banyak mengiklankan mengenai maklumat supaya golongan berpendapatan rendah B40 dapat maklumat terperinci, tahu apa kelebihan yang mereka boleh dapat dari skim ini...perlu banyakkan lagi iklan dan promosi yang menyeluruh.

"Pihak hospital dan doktor sendiri pun tak cerita pasal perkara ini. Pihak Great Eastern kena sekurang-kurangnya ada satu ruangan di hospital untuk buka kiosk dan beri penerangan kepada orang ramai," katanya kepada Bernama.

Izman yang menerima rawatan di HPP selepas mengalami strok sejak tujuh bulan lepas berkata beliau juga akan berkongsi mengenai skim itu kepada rakan-rakannya jika mendapat maklumat menyeluruh memandangkan ramai golongan B40 tidak mengetahui kewujudan skim itu.

Sementara itu, Nasibah Amir, 60, berkata skim ini akan menjadi satu kerugian jika maklumat tidak sampai kepada golongan sasar kerana tidak mengetahui apa perlindungan dan kemudahan yang mereka boleh dapat.

"Saya sendiri pun tak pernah dengar, hari ni pertama kali dengar. Saya rasa perlu (buat hebahan dan publisiti). Bila maklumat tak sampai jadi kita tak tau apa faedah yang kita boleh dapat...benda tu akan jadi macam 'waste', kemudahan ada tapi kita tak tahu," katanya.

Skim itu menyediakan pembayaran sebanyak RM8,000  dalam bentuk sekali gus sekiranya mereka disahkan menghidap mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal seperti kanser dan penyakit jantung.

Selain itu, skim mySalam juga menyediakan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, atau RM700 setiap tahun kepada mereka yang menerima rawatan di hospital kerajaan

Inisiatif itu adalah hasil kerjasama kerajaan dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings, yang menyumbang caruman dana permulaan RM2 bilion ke dalam dana amanah, MySalam.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel